Oleh Basyar Mustapha
basyar@mediaprima.com.my

Kebanyakan ibu bapa kini sibuk bekerja sehingga seakan-akan terlupa mengenai peranan penting di tangan mereka dalam membina tabiat pemakanan anak-anak.

Pakar pemakanan Indra Balaratnam mengakui, ibu bapa adalah pengaruh terpenting dalam memastikan anak-anak kecil mengamalkan tabiat pemakanan sihat.

"Walau sesibuk mana pun ibu bapa, mereka haruslah memberi perhatian terhadap tabiat atau pola pemakanan anak-anak kerana ia penting untuk kesihatan si kecil.

"Saya berasa ralat jika melihat ibu bapa memberi apa saja yang dirasakan mereka boleh dimakan tanpa memikirkan kesannya pada anak-anak.

"Ada yang mengambil langkah mudah de-ngan memberikan mereka makanan segera dan diproses dengan alasan sibuk dengan perkara yang lebih memerlukan perhatian mereka ketika itu.

"Ibu bapa sememangnya tidak akan melihat sesetengah kesan buruk tabiat pemakanan yang tidak sihat kepada anak-anak dalam masa terdekat namun keburukannya akan muncul juga dalam jangka panjang. Sebagai penjaga, seharusnya kita mahu mengelakkan perkara ini daripada berlaku," katanya.

Indra berkata, terdapat pelbagai cara boleh dipraktikkan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka mengamalkan tabiat pemakanan yang baik.

"Saya menggalakkan ibu bapa meneroka hubu-ngan anak-anak mereka de-ngan makanan atau de-ngan kata lain, memahami selera anak-anak. Namun pada masa sama, memanfaatkannya untuk memastikan anak-anak mendapat nutrisi yang cukup daripada makanan yang menyihatkan," katanya.

Faham selera anak

Setiap anak itu dilahirkan berbeza minat dan karakternya. Menurut Indra, begitu juga selera anak-anak yang berlainan antara satu sama lain.

"Anak yang lebih tua mungkin mempunyai selera berlainan berbanding adiknya. Dia mungkin sukakan lobak tapi tidak suka makan brokoli manakala si adik mungkin sebaliknya.

"Justeru, ibu bapa perlu memerhati dan mengambil tahu setiap jenis makanan berkhasiat yang disukai anak mereka dan memasukkannya ke dalam hidangan, bukan makanan berkhasiat yang mereka enggan makan.

"Ketahui sebab mereka tidak suka memakan sesuatu makanan sama ada kerana rasa, bau, warna atau rupa makanan itu. Namun cuba memujuk mereka makan makanan berkhasiat lain tanpa memaksa, justeru perlunya ibu bapa menjadi kreatif dalam menyediakan makanan.

Jadi kreatif

Kreativiti juga penting untuk dipraktikkan ibu bapa dalam menyediakan makanan untuk anak-anak.

"Ibu bapa boleh menyorokkan sayur berkhasiat yang tidak disukai anak dalam hidangan. Misalnya menyediakan kepingan daging burger yang diletakkan hirisan sayur di dalamnya dan mengubah cara masakan yang lebih sihat.

"Snek juga boleh dibuat sendiri menggunakan bahan segar dan bukan ha-nya membeli yang tersedia di kedai saja yang sedia maklum mempunyai pelbagai bahan perasa yang tidak bagus untuk kesihatan.

"Menghias makanan untuk menjadikannya lebih menarik dan comel juga bagus diamalkan. Guna pelbagai acuan dengan bentuk menarik dalam memotong buah dan sayur atau hias sesuatu hidangan menjadi satu karakter atau bentuk yang mereka suka.

"Sekarang terdapat ba-nyak buku, artikel akhbar dan laman web yang memberi idea penyediaan kreatif ini. Ibu bapa hanya perlu mencuba dan lihat hasilnya," kata Indra.

Pembabitan si kecil

Indra menggalakkan ibu bapa membabitkan anak-anak mereka dalam memilih dan menyediakan hidangan kerana anak-anak akan berasa bertang-gungjawab dan sekaligus menghargai makanan itu.

"Semasa membeli makanan di pasar raya, bawa mereka sekali-sekala dan tanyakan bahan sihat yang mereka ingini.

"Tanya juga idea menu yang mahu disediakan anak-anak, seterusnya babitkan mereka semasa memasak makanan seperti meminta mereka membasuh sayur atau menggaul bahan dalam mangkuk.

"Dari situ mereka akan berasa mereka juga me-ngambil bahagian dalam menyediakan makanan dan menghargai hidangan itu," katanya.

Elak gangguan

Perkara seperti permainan video mudah alih, komputer tablet dan telefon bimbit boleh mengganggu perhatian anak-anak kepada makanan.

"Ini akan menyebabkan mereka mempunyai alasan untuk tidak makan juga mengganggu mood mereka untuk makan.

"Jauhkan peralatan ini semasa makan dan jika mereka berdegil, hanya izinkan mereka memegangnya dan tidak menggunakannya supaya mereka boleh menikmati makanan dan berasa kenyang," katanya.

Ibu bapa juga disarankan supaya tidak bersifat menghukum kepada anak-anak dengan membabitkan perihal makanan.

"Jangan menyuruh mereka memakan sayur atau makanan sihat lain sebagai hukuman untuk mereka setelah melakukan sesuatu perkara yang salah kerana ini hanya akan menanam sikap tidak suka kepada makanan itu.

"Kanak-kanak dan makanan ringan tidak boleh dipisahkan. Jangan terus merampas hak mereka untuk menikmati makanan ringan namun elaklah daripada memberi kelonggaran berlebihan dan pastikan mereka tahu had-nya," kata Indra.

Jadi contoh baik

Siapa lagi yang kanak-kanak jadikan contoh terdekat jika bukan ibu bapa dan ahli keluarga mereka sendiri.

"Ibu bapa dan ahli keluarga terdekat harus menjadi teladan baik kepada anak-anak kecil ini. Mereka mudah mengikut perbuatan orang dewasa oleh itu, ibu bapa sendiri perlu mengamalkan pemakanan yang sihat di hadapan anak-anak malah benar-benar memahami kepentingannya.

"Mereka sebenarnya adalah pengaruh terbesar dalam hidup anak-anak dan semuannya bermula dari rumah," kata Indra.

Indra yang ditemui pada bengkel pemakanan sihat untuk kanak-kanak yang dianjurkan oleh Safari Kid International Pre-School, Taman Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur menegaskan, amalan pemakanan sihat adalah satu pengetahuan yang amat penting dalam kehidupan anak-anak dan diamalkan sehingga mereka dewasa.

Dia juga sempat berkongsi beberapa resipi snek dan minuman sihat yang boleh disediakan dengan mudah di rumah bersama ibu bapa.

"Usaha sekolah Safari Kid ini perlu dicontohi semua pihak terutama ibu bapa dan sekolah anak-anak. Ambillah masa untuk berkomunikasi, membuat pelan dan melakukan amalan pemakanan sihat untuk anak-anak kita untuk mengelak perkara yang tidak diingini kepada kesihatan mereka kelak," kata Indra.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:01 AM