Bot yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Izaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

 

Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tanjung Sedili (DM7) menahan sebuah bot nelayan asing yang didapati berada dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran, tengah hari semalam.

Bot Hai Shun Huai yang berdaftar di Taiwan itu ditahan di kira-kira 1.3 batu nautika selatan Tanjung Setapa, perairan Pengerang di sini, jam 12.20 tengah hari.

 Timbalan Pengarah Operasi DM7, Komander Maritim Sanifah Yusof berkata, bot APMM mengesan bot nelayan asing itu berada betul-betul dalam perairan Malaysia dan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, ketika ditahan, pengendali bot nelayan itu memberi alasan tidak tahu bahawa mereka sudah berada di perairan Malaysia.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa empat orang kru termasuk seorang tekong warga Taiwan yang semuanya berumur 31 tahun hingga 45 tahun.

"Mereka dibawa ke pejabat APMM DM 7 untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sanifah berkata, bot terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 449 Akta Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana tidak melaporkan ketibaan pada Pengarah Laut Malaysia dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

 "Jika disabitkan kesalahan, awak-awak boleh dikenakan denda RM100,000 setiap seorang, manakala tekong atau nakhoda akan dikenakan denda sehingga RM1 juta," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan melipatgandakan operasi mengesan, menahan dan mempertingkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara supaya orang luar mematuhi undang-undang Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:20 AM