Abdel Fattah

Kaherah: Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sissi semalam menyuarakan sokongan terhadap tentera yang setia kepada Presiden Syria, Bashar Assad.

Kenyataan itu sudah pasti mencetuskan kemarahan Arab Saudi dan negara Teluk Arab lain yang menyokong kumpulan penentang dalam perang saudara di Syria itu.

Dalam satu wawancara dengan rangkaian televisyen Portugal, RTP, Abdel Fatah berkata, tentera Syria adalah paling layak untuk memerangi keganasan dan mengembalikan kestabilan di negara yang hampir musnah akibat peperangan itu.

Ditanya sama ada dia akan mengerahkan pasukan pengaman Mesir ke Syria jika ada perjanjian damai, Abdel Fatah menjawab: “Adalah lebih baik tugas itu dilakukan tentera Syria sendiri. Keutamaan saya ialah menyokong tentera Syria di bawah Bashar.”

Mesir dan Arab Saudi tidak bersefahaman mengenai perang di Syria. Kaherah mencetuskan kemarahan penyumbang kewangan utamanya bulan lalu apabila menyokong deraf ketetapan yang dikemukakan Russia dan Perancis mengenai Syria di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 8:21 AM