Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Angin kencang dengan suhu mencecah -25 darjah Celsius menyukarkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjejak dua rakyat Malaysia yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran.

Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said berkata, misi SAR mula digerakkan seawal 7 pagi semalam (waktu Iran), selepas Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli Abdul Majid, 44, tidak kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter sejak 9 malam Isnin lalu.

"Cuaca di ketinggian 4,200 meter hingga 5,671 meter (puncak) sangat baik tetapi angin kuat memberi sedikit tekanan kepada pasukan SAR.

"Setakat ini, kami sudah melalui empat laluan untuk mencari rakan yang hilang dengan bantuan empat ahli Bulan Sabit Merah Iran. Namun, hingga petang semalam, tiada tanda mereka berada di laluan yang dijejaki," katanya menerusi Whatsapp.

Menurutnya, tujuh daripada 12 ahli ekspedisi Mendaki Gunung Damavand selamat tiba di tanah air pada 12.45 tengah hari, semalam (waktu Malaysia).

"Mereka pulang dulu selepas menamatkan aktiviti pendakian yang berakhir Selasa lalu, manakala tiga ahli di Iran membantu pasukan SAR mencari dua ahli yang hilang.

"Doakan keselamatan ahli yang masih berada di sini (Iran) dan bantuan SAR akan berjalan lancar. Ahli keluarga kedua-dua mereka yang hilang juga akan berlepas ke Tehran, Iran hari ini pada 7 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)," katanya.

Berita berkaitan:

Dua rakyat kita dikhuatiri hilang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 3:19 AM
PASUKAN mencari dan menyelamat menjejak Syed Redzuan (gambar kecil, kiri) dan Ramli (gambar kecil, kanan) yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran. FOTO ihsan Rozaimi Mohd Said