SUSPEK yang ditahan semula selepas melarikan diri. FOTO ihsan Polis
Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my


Besut: Pemuda ditahan semula polis di Kampung Raja, Besut malam tadi, selepas 38 jam melarikan diri dari Mahkamah Majistret Besut.

Polis menahan pemuda berusia 24 tahun berkenaan di kedai makan dengan bantuan keluarganya kira-kira 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pemuda berkenaan dapat meloloskan diri ketika dibawa ke mahkamah untuk didakwa, kira-kira 9 pagi Isnin lalu.

Menurutnya, suspek sebelum ini ditahan polis berkaitan dengan kes dadah dipercayai bersembunyi di kawasan semak selepas pulang ke rumah keluarganya sebaik melarikan diri dari kawalan polis.

"Kini siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 3:29 PM