CEF cilik Leah Choy bersama Fazley menunjukkan kepakaran dalam bidang masakan.
DARI kiri Lim Jia Wei, Hiroyuki Muto, wakil Cotra Enterprises Vitagen & Marigold Nordina Baharum, maskot KidZania KL, Gabenor Kidzania KL dan Singapura, Susanah Abdul Rani, Shahrul Nizar Ahmad, Eng Gelson, Fazley dan Jessica Yim bergambar selepas majlis perasmian di Kidzania KL.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

KidZania Kuala Lumpur dengan kerjasama Panasonic Cooking dan kolaborasi bersama cef selebriti, penulis buku masakan dan artis seni hiasan makanan antarabangsa, melancarkan program KidZ vs Food yang bertujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk mula belajar memasak.

Bermula 26 November 2016 hingga 1 Januari 2017, inisiatif ini bagi menanam minat memasak dalam kalangan kanak-kanak dengan memperkenalkan elemen dan proses memasak yang bukan saja praktikal, malah menyeronokkan.

Menurut Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur Shahrul Nizar Ahmad, program KidZ vs Food ini diharap dapat mengubah persepsi kanak-kanak terhadap sesuatu perkara terutama mengenai makanan dan memasak. Diharap selepas program ini kanak-kanak boleh merasai sendiri keseronokan memasak di samping membina keyakinan diri serta memupuk kebolehupayaan menerusi tugasan memasak dan cabaran disediakan.

“Kami juga berharap ibu bapa turut memperoleh manfaat daripada program ini. Ibu bapa harus faham apabila mereka membabitkan anak-anak di dapur, mereka bukan sekadar mengajar cara menyediakan makanan, tetapi berpeluang mengajar si kecil mengenai sains dan matematik menerusi tugasan memasak, meningkatkan kemahiran membaca, pengiraan masa dan komunikasi. Ia juga menggalakkan pemakanan sihat, memupuk keyakinan diri dan kreativiti serta mengeratkan hubungan dengan anak mereka,” katanya.

KidZ vs Food terbahagi kepada empat segmen iaitu:

1. Dapur segera - memberikan kebebasan kepada kanak-kanak untuk menyediakan sendiri resipi segera dan mudah yang juga boleh dilakukan di rumah.

2. Sains makanan - meneroka aspek teknikal masakan melalui demonstrasi yang menunjukkan reaksi dan keadaan kimia boleh menghasilkan rasa dan tekstur makanan berbeza.

3. Seni makanan - mengajar peserta kanak-kanak mengenai asas persembahan makanan dan cara menghasilkan hidangan pencuci mulut menarik.

4. Bengkel profesional- dikendalikan cef selebriti terkenal Malaysia, penulis buku masakan dan artis seni hiasan makanan.

Antara cef selebriti yang akan berkongsi kepakaran mereka dalam program dan bengkel profesional yang akan diadakan ialah Datuk Fazley Yaakob dan Brian Chen (atau lebih dikenali sebagai Abang Brian), artis makanan antarabangsa, Samantha Lee, penulis buku masakan yang pernah memenangi anugerah, Mohana Gill dan dan cef cilik berbakat besar yang baru berusia tujuh tahun, Leah Choy daripada Chef Leah with a Big Heart.

Program KidZ vs Food ini juga akan menjadi hos kepada satu pertandingan masak kanak-kanak, KidZania Zuper Kitchen Challenge, yang bakal menyaksikan lima peserta terbaik berpeluang memenangi hadiah peralatan memasak Panasonic, kursus kulinari di Young Chefs Academy, buku masakan berserta autograf dan juga tiket ke KidZania Kuala Lumpur serta barangan bernilai lebih RM5,000.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Hiroyuki Muto, program seumpama ini yang membabitkan kanak-kanak mampu menarik minat mereka untuk menerokai dunia makanan. Ia juga satu langkah positif memupuk kemahiran kehidupan sejak kecil.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan KidZania Kuala Lumpur bagi menjayakan program ini. Panasonic sentiasa berusaha membangunkan produk inovatif untuk memperkayakan kehidupan keluarga Malaysia. Ini termasuk peralatan dapur yang mempunyai rekaan penggunaan selamat dan berkesan juga boleh digunakan oleh kanak-kanak dengan pengawasan orang dewasa,” katanya.

Program KidZ vs Food KidZania Kuala Lumpur ditaja oleh Panasonic Cooking, Vitagen & Marigold, Sushi King, Lifebuoy, Beryl’s dan Young Chefs Academy. Untuk maklumat lanjut layari www.kidzania.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 1:44 PM