SAMSUNG Galaxy Tab A (2016)
Wan Nur Ameera Meor Rozman
it@hmetro.com.my


Selepas memperkenalkan teknologi S Pen tahun lalu, Samsung tampil pula dengan teknologi sama pada Samsung Galaxy Tab A (2016).

Teknologi S Pen yang ditonjolkan pada Samsung Galaxy Tab A (2016) ini sama seperti yang terdapat pada Galaxy Note7, termasuk off-screen memo dan penterjemahan masa nyata.

Untuk keluaran terbaru ini, Samsung Tab A (2016) diperkenalkan sebagai versi tablet yang lebih besar dengan paparan bersaiz 10.1 inci, membuatkan ia sesuai untuk digunakan bagi pelbagai tujuan termasuk menyiapkan tugasan pekerjaan.

Bagi mereka yang kurang selesa membuat sebarang tugasan harian menggunakan peranti pintar anda, anda bolehlah mencuba tablet ini kerana ukuran tablet ini pasti membuatkan anda selesa untuk menyiapkan tugasan harian.

Berbanding versi sebelumnya dengan sistem operasi Android 5.0 dan skrin 9.7 inci beresolusi 1024 x 768, kali ini, Samsung menampilkan model Samsung Tab A (2016) dengan skrin HD penuh beresolusi 1920 x 1200 bersama versi terbaru Android iaitu Marshmallow atau Android 6.0.

Jika dahulu mereka menggunakan paparan XGA, kini Samsung mempertingkatkan kualiti paparan kepada versi yang lebih baik iaitu WUXGA.

Dengan paparan berkenaan, skrin Samsung Tab A (2016) dilihat lebih teliti pembuatannya untuk memberikan pengalaman tontonan yang lebih jelas dan terang.

Selain itu, tablet ini juga sesuai digunakan untuk menonton filem dan drama, apatah lagi saiznya besar disokong pula oleh pembesar suaranya yang mampu menghasilkan audio menakjubkan.

Samsung Tab A (2016) ini dimuatkan dengan pemprosesan Octa-Core 1.6GHz, 3GB RAM dan hanya 16GB storan dalaman yang terbina didalamnya.

Justeru, untuk menyokong fail-fail yang mempunyai kapasiti besar, anda boleh mendapatkan sokongan kad microSD yang berupaya menyokong kad bersaiz sehingga 256 GB.

Seiring dengan pengenalan ini, antara elemen yang turut Samsung ketengahkan ada Kids Mode.

Mod ini membolehkan anda menyerahkan tablet kepada anak dan membenarkan mereka menggunakannya tanpa menimbulkan kecurigaan.

Apa yang menariknya mengenai mod ini, ia tidak boleh diakses ketika skrin berkunci. Malah, untuk kembali ke mod biasa, ia memerlukan anda untuk memasukkan pin terlebih dahulu.

Jadi, dengan kids mode, kanak-kanak tidak lagi boleh membuat akses sewenang-wenangnya ke enjin carian seperti Google dan Youtube yang boleh menyebabkan mereka terjerumus kepada aktiviti tidak sihat contohnya menonton kartun yang diselitkan dengan unsur lucah.

Untuk kamera pula, Samsung Tab A (2016) mempunyai kamera belakang 8MP dan kamera depan 2MP serta menyokong rakaman video penuh HD (1920 x 1080 piksel) pada kelajuan 30fps.

Lebih seronok, tablet terbabit tidak memerlukan anda untuk mengecasnya terlalu kerap. Ia hadir dengan bateri berkapasiti 7,300 mAh dan mampu bertahan sehingga 13 jam waktu penggunaan.

Bagi yang berhasrat untuk mendapatkan tablet pada harga bawah RM2,000, anda boleh memilih untuk memiliki Samsung Tab A (2016) dalam dua warna pilihan iaitu putih dan hitam pada harga hanya RM 1,794.

INFO

SAMSUNG GALAXY TAB A (2016)

• PENGELUAR: Samsung

• CIRI: Tablet dengan teknologi S Pen

• PRO: Bateri tahan lama

• KONTRA: Storan dalaman hanya 16GB

• LAMAN WEB:www.samsung.com/my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 1:01 PM