KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Pemandu kereta dan penunggang motosikal parah selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan sebelum terhumban ke kawasan cerun di Kilometer 76.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pak Sabah, 6.30 petang tadi.

Rozita Ahmad, 25, berasal dari Kampung Che Lijah yang memandu kereta cedera di kepala dan badan manakala penunggang motosikal, Azizul Mamat, 39, cedera di badan, kepala dan kaki.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Azizul dikatakan cuba melintas jalan sebelum dirempuh kereta dipandu Rozita dari arah Kuala Terengganu ke bandar Dungun.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Amri Mohamad berkata, empat anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dalam kenderaannya sebelum kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 8:22 PM