GAMBAR hiasan
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Sembilan belas kematian dicatatkan membabitkan pengidap denggi di Terengganu sejak awal tahun ini berbanding hanya tiga kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata, kes terbaru membabitkan kematian wanita berusia 49 tahun dari Kampung Hiliran Binjai, di sini, pada 4 November lalu.

Menurutnya, wanita itu dikesan menghidap demam denggi akhir bulan lalu dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Katanya, pada Oktober lalu tiga kes kematian dicatatkan termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dari Kampung Gelugor, Kemaman yang meninggal dunia pada 24 Oktober selepas lapan hari menerima rawatan di Hospital Kemaman.

"Antara kelemahan dikenal pasti hingga menyebabkan kematian terbabit adalah pengidap lewat untuk mendapatkan rawatan walaupun sudah mengalami demam beberapa hari sebelum itu Bagaimanapun, secara keseluruhan situasi semasa kes denggi di negeri ini masih terkawal dan semua penduduk diminta sentiasa menjaga kebersihan persekitaran mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 5:14 PM