PEMASANGAN kelambu berubat di Hospital Gerik. Gambar ihsan Jabatan Kesihatan Perak
Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my


Ipoh: Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan pemantauan dan pengambilan darah untuk ujian parasit malaria (BFMP) di kawasan Orang Asli di Pos Kemar, Gerik, bagi mengesan kes baru dan langkah pencegahan serta pengawalan wabak itu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, tugas itu dilakukan di 10 kampung yang ada dalam kawasan penempatan berkenaan.

"Selain pengambilan darah untuk ujian parasit malaria di semua kampung, kita juga meneruskan pemberian kelambu berubat di kawasan berkenaan.

"Pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak menyerahkan kelambu dan mengajar masyarakat Orang Asli cara penggunaannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, kelambu berubat berkenaan bagi mengelak digigit nyamuk turut dipasang di wad di Hospital Gerik yang menempatkan pesakit yang dikenal pasti positif malaria.

Sehingga semalam, 43 penduduk Orang Asli di Pos Kemar disahkan positif kes malaria spesies Plasmodium vivax (P vivax).

Kes malaria P vivax terakhir di kawasan penempatan berkenaan adalah pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 3:17 PM