Salah seorang penagih dadah yang ditahan pegawai AADK di Masjid Tanah, malam tadi. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Alor Gajah: Tiga penagih dadah berusia 51 hingga 56 tahun ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Masjid Tanah, di sini, kerana melanggar syarat dan perintah mahkamah, malam tadi.

Tangkapan dibuat selepas waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Alor Gajah, semalam.

Enam penguatkuasa AADK terbabit dalam Ops Ingkar itu bermula 10.30 malam hingga 2 pagi dan berjaya mengesan tiga daripada empat suspek di lokasi berbeza.

Pengarah AADK negeri Mohd Yusof Kameh berkata, tangkapan dibuat selepas ketiga-tiga suspek yang juga Orang Kena Pengawasan (OKP) gagal melapor diri di balai polis berhampiran selain tidak mengikuti program.

Katanya, Ops Ingkar yang bermula kelmarin hingga Jumaat ini dibuat bagi mengesan OKP yang melanggar syarat di bawah Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 atas kesalahan gagal melapor diri di balai polis.

"Malam semalam (kelmarin), empat suspek lelaki berusia 27 hingga 45 tahun ditahan di Rembia dan Kuala Linggi atas kesalahan yang sama dan situasi ini membimbangkan jika mereka mempengaruhi penagih dadah atau OKP lain.

"Sebanyak 470 OKP berdaftar di bawah AADK Alor Gajah dan 312 daripadanya mengikuti program dan melapor diri dengan teratur manakala selebihnya gagal berbuat demikian," katanya.

-tamat-

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 2:47 PM