Keadaan di tempat kejadian seorang lelaki maut ketika menukar tayar kereta. FOTO ihsan PDRM
Mohd Asri Saifuddin Mamat
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pemandu kereta yang mahu menukar tayar keretanya yang pancit di Lebuhraya Persekutuan malam tadi maut dilanggar dua motosikal.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku di lorong kecemasan lebuh raya itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang kira-kira jam 9.30 malam.

Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Proton Wira, Liong Koon Wai, 43, berhenti untuk menukar tayar pancit di lorong kecemasan.

Katanya, ketika membuka tayar mangsa dilanggar sebuah motosikal jenis Modenas diikuti sebuah lagi motosikal jenis Honda Wave Dash dari arah sama.

"Akibat rempuhan itu mangsa cedera parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

"Kedua-dua penunggang motosikal berusia 20 dan 33 tahun itu cedera dan dihantar ke Hospital Shah Alam," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 11:11 AM