EDRY tidak sangka menang lagi.
Syanty Octavia Amry dan Michelle Gun
am@hmetro.com.my


Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2016 sekali lagi menjadi milik komposer terkenal Edry Abdul Halim apabila mengungguli anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak iaitu tiga kali berturut-turut sejak tahun 2014.

Berlangsung dalam suasana santai dan meriah di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Ahad lalu, Edry bersyukur dan tidak menyangka anugerah itu menjadi miliknya sekali gus menewaskan Datuk M Nasir yang mendominasi kategori sama selama 13 tahun berturut-turut.

Bertemu selepas acara, Edry berkata fokus utama bukanlah pendapatan terbanyak sebaliknya berharap semua pihak lebih memandang karya yang dihasilkan.

“Alhamdulillah rezeki saya lagi tahun ini. Saya menilai pendapatan terbanyak ini lebih kepada lagu yang kerap dipersembahkan.

“Lagu yang sering diputarkan di radio serta pusat karaoke ini bagus dan membantu komposer seperti saya.

“Mungkin juga ia boleh menjadi pendapatan lain buat penggiat seni seperti kami. Syukur kerana MACP bertanggungjawab membantu membela penggiat seni,” katanya yang sudah menghasilkan 800 lagu.

Edry berkata, hampir 50 lagu komersial dihasilkan setiap tahun belum termasuk lagu korporat dan iklan yang menambahkan jumlah lagu ciptaannya.

Sementara itu, tuah turut berpihak kepada Habsah Hassan yang juga Pengerusi MACP apabila memenangi kategori Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.

Sering tampil dengan lagu dan muzik yang menarik, anugerah Komposer Muda Berpotensi menjadi milik penyanyi muda dan berbakat besar, Najwa Latif.

Anugerah Nadi Cipta pula diberikan kepada komposer dan penyanyi Hamdan Atan atau nama pentasnya A Ali. Malam Mesra MACP adalah penghargaan buat penggiat seni yang banyak menyumbang hasil karya mereka dalam merancakkan perkembangan industri seni negara.

Dalam pada itu, lagu ciptaan Wong Yu Ri berjudul Together menerima anugerah Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak yang dinyanyikan oleh Sleeq, Tiz Zaqyah dan Zain Saidin.

Selain itu, lagu Gadis Jolobu ciptaan DJ Fuzz, Waris dan Datuk Hattan kekal mempertahankan kemenangan tahun lalu menerusi kategori Persembahan Lagu Melayu Terbanyak.

Syarikat penerbitan Luncai Emas Sdn Bhd juga mempertahankan kemenangan sebagai Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Sementara itu, Habsah Hassan yang menghasilkan lebih 1,000 lirik sejak era 80-an berkata karyanya masih diputarkan di stesen radio dan pusat karoke membuatkan dia mampu bertahan sebagai penulis lirik dengan pendapatan terbanyak di negara ini.

“Kebanyakan lagu ditawarkan di pusat karaoke nostalgia dan malar segar. Walaupun ramai penyanyi muncul dengan lagu baru, karya itu sukar bertahan lama,” katanya.

Justeru itu, Habsah yang juga penulis skrip popular menasihati penyanyi generasi sekarang perlu bijak menghasilkan lirik yang mampu bertahan lama.

“Jangan hanya fikir untuk menulis lirik syok sendiri. Lagu yang dihasilkan mungkin mendapat sambutan hangat kerana trend namun untuk tempoh tertentu saja,” katanya.

Ujarnya lagi, kejayaan sesebuah lagu bertahan lama dalam industri muzik turut terletak pada kekuatan melodi dan bukan lirik sahaja.

“Ada juga lirik bagus tetapi sukar bertahan lama kerana melodinya kurang sesuai. Bagi saya gabungan dua elemen ini sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah karya,” katanya.

Habsah pernah menulis lagu untuk beberapa penyanyi tanah air antaranya Sudirman, Noorkumalasari, Zaiton Sameon, Francissca Peter, Rahim Maarof, Khatijah Ibrahim, Erra Fazira dan Misha Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 10:21 AM