FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, di sini, menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak masak ke negara jiran, Thailand dalam satu serbuan, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PPM, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman, berkata serbuan dilakukan dekat stor Haji Alias, Simpangan, kira-kira 11 malam tadi.

Katanya, selepas melakukan intipan di kawasan terbabit selama beberapa hari, pihaknya merampas lori muatan lima tan dan menahan pemandu lelaki yang berusia 34 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori menemui 4,550 kilogram (kg) minyak masak dengan 2,550kg daripadanya adalah minyak masak paket bersubsidi manakala 2,000kg minyak masak botol 5kg.

"Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM80,000 termasuk lori dan ini adalah tangkapan terbesar PPM tahun ini," katanya, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori ketika itu dipercayai menunggu bekalan terbabit diambil pihak tertentu dari seberang melalui Sungai Golok.

Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 8:22 AM