MAH Hang Soon menunjukkan senarai pecahan kes dikesan mengikut jantina dan umur ketika sidang media mengenai 41 Orang Asli Pos Kemar, Gerik yang didapati positif malaria. FOTO Muhaizan Yahya
GAMBAR hiasan.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my


Ipoh: Pergerakan keluar masuk penduduk yang mempunyai pertalian saudara dengan penduduk pemempatan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan yang melaporkan kes malaria spesies Plasmodium vivax (P vivax) tahun ini, antara hipotesis punca 41 masyarakat Orang Asli di Pos Kemar, dekat Gerik, positif wabak itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata, satu lagi hipotesis diberi pertimbangan adalah kehadiran pekerja asing dari negara endemik yang sedang menjalankan beberapa projek pembangunan dan pertanian di sekitar kawasan berkenaan.

"Punca jangkitan malaria di Pos Kemar masih lagi belum dapat dikenal pasti namun terdapat beberapa hipotesis yang sedang dipertimbangkan, antaranya dua perkara berkenaan.

"Kes malaria terakhir yang dilaporkan dari lokaliti Pos Kemar adalah pada 2011 iaitu satu kes jangkitan zoonotik P knolesi manakala malaria P vivax terakhir pada 2009, juga satu kes," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini yang mengesahkan 41 Orang Asli Pos Kemar positif malaria P vivax sehingga semalam, dengan tiga kes terbaru dikesan pada Rabu lalu.

Berita berkaitan:

41 penduduk Pos Kemar positif malaria

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 6:22 PM