Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Seramai 41 penduduk di Pos Kemar, Hulu Perak dikesan positif penyakit malaria jenis Plasmodium Vivax (P Vivax) sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak di bawah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak yang melakukan aktiviti pengesanan secara aktif (ACD) di kawasan berisiko tinggi malaria mendapati tiga penduduk di Pos Kemar, Hulu Perak positif malaria pada 16 November lalu.

Berikutan itu, katanya, JKN Perak dan PKD Hulu Perak sudah memulakan aktiviti saringan terhadap kontak dan semua penduduk dalam lingkungan dua kilometer (km) radius daripada tempat kes berlaku.

"Sehingga semalam, sebanyak 334 individu sudah menjalani ujian slaid darah dan sebanyak 41 kes atau penduduk dikesan positif malaria.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 59 peratus (24 kes) adalah lelaki dan 41 peratus (17 kes) ialah wanita, manakala 24 kes (59 peratus) dalam kalangan kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semua kes yang dikesan adalah daripada spesis P Vivax dan 20 kes sudah dimasukkan ke wad di Hospital Gerik, manakala 21 kes lagi akan dirujuk ke hospital hari ini untuk tujuan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 12:07 PM