ORANG ramai tertarik dengan pembinaan kondominium O’hako Residensi di Puchong.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Marimo Land Malaysia Sdn Bhd (Marimo Land), pemaju hartanah berpangkalan dari Jepun optimis projek hartanah pertamanya di Malaysia, O’hako Residensi di Puchong mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli tempatan bersandarkan rekod jualan yang dicatatkan.

Ia merangkumi penjualan 60 peratus untuk Menara B dan 90 peratus bagi Menara A yang berjaya dijual sejak Oktober tahun lalu.

O’hako Residensi adalah projek kediaman kondominum yang mempunyai 718 unit dalam kategori premier pegangan bebas dan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM390 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, John Taro berkata, O’hako Residensi terletak di lokasi strategik dan mudah diakses iaitu hanya mengambil masa dua minit dari Universiti Taylor Lakeside Campus.

Beliau berkata, kediaman itu diilhamkan daripada konsep O’haka iaitu kotak kejutan yang direka Marimo Land iaitu syarikat yang mempunyai reputasi baik dan berpengalaman luas serta membina lebih daripada 330 kondominium di Jepun dan negara lain termasuk 1,000 unit kediaman strata di China.

“Projek pembinaan kondominium ini turut membawa bersama semangat inovasi, teknologi, tradisi dan budaya Jepun bertujuan mewujudkan kediaman selesa, mesra dan mewah. Namun, untuk mengulas mengenai kualiti dan teknologi projek kediaman ini sangat teknikal untuk diterangkan.

“Dengan menitik beratkan konsep gaya hidup masa kini, O’hako Residensi menawarkan kemudahan seperti laluan basikal untuk kanak-kanak dan trek joging, kawasan khas bermain peluncur, rumah pokok, gimnasium, ruang seni, pentas perkahwinan terapung, ruang serbaguna dan setiap unit mendapat dua tempat letak kereta,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Marimo Land, E&J Group, Ecobuild (M) Sdn Bhd dan Pembinaan Infra E&J Sdn Bhd di sini, semalam.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Marimo Land melantik Ecobuild dan Pembinaan Infra E&J untuk membina O’hako Residensi yang mana projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2019.

Setiap unit berharga daripada RM430,000 hingga RM630,000 dengan luas binaan daripada 850 hingga 1,000 kaki persegi yang mana setiap satu kaki persegi bernilai antara RM500 hingga RM600.

John berkata, O’hako Residensi terletak di Jalan Pipit Bandar Puchong Jaya terdiri daripada dua menara dengan 359 unit bagi setiap menara manakala lebih satu pertiga daripada pembangunan seluas 1.7 hektar diperuntukkan untuk kehijauan dan kemudahan luar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 7:20 AM