ANTARA kayu yang dirampas Jabatan Perhutanan Terengganu dalam operasi di Hutan Simpan Rasau, Felda Kertih 5, Dungun. FOTO ihsan Jabatan Hutan Terengganu
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Perhutanan Terengganu merampas lebih 10 tan kayu berkualiti tinggi daripada spesis keruin, kapor dan meranti selain menyita jentera yang dipercayai digunakan sindiket untuk menjarah Hutan Simpan Rasau, Felda Kertih 5, Dungun bernilai lebih RM100,000.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kegiatan sindiket itu dikesan pihaknya menggunakan Sistem Pemantauan Hutan (FMRS) yang dibangunkan menerusi teknologi satelit dalam operasi yang dirangka sejak Isnin lalu.

"Menerusi pemantauan yang dilakukan menggunakan FMRS itu, sindiket itu dikesan sedang menggondolkan lebih dua hektar kawasan baru di hutan simpan kekal terbabit.

“Berdasarkan risikan yang dilakukan, sindiket ini sudah lama menjadikan Hutan Simpan Rasau sebagai markas mereka untuk mengaut keuntungan berlipat ganda namun dengan penggunaan FMRS ini kita mengesan lokasi baru yang sedang giat digondolkan.

"Sindiket ini amat licik kerana berjaya mengesan pergerakan kami dengan menggunakan khidmat tonto di beberapa lokasi strategik di sekitar perkampungan penduduk FELDA ini sekali gus dapat melarikan diri ketika serbuan dijalankan," katanya.

Ahmad Fadzil berkata, sindiket berkenaan juga semakin agresif apabila mengugut mengancam peneroka FELDA yang cuba melaporkan kegiatan mereka kepada pihak berkuasa.

Katanya, sindiket ini juga dipercayai sudah menggondol lebih kurang 50 hektar tanah kawasan hutan simpan ini sejak lebih lima tahun lalu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 4:08 PM