ANGGOTA polis membawa Muhammad Firdaus (dua kanan) dan Norshahilla (kiri) di Mahkamah Majistret Tangkak. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ibrahim Isa

Tangkak: Remaja lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak di sini, hari ini atas tuduhan membunuh lelaki di Jalan Kesang Laut di sini, 31 Oktober lalu.

Tertuduh lelaki yang dikategorikan sebagai OKU lembam, Muhammad Firdaus Hamzah, 19, dituduh bersama Norshahilla Ismail, 23, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh mangsa antara 11.59 malam 31 Oktober hingga 4.30 pagi 1 November lalu di depan rumah di Jalan Kesang Laut, Batu 2, Tanjung Gading, Sungai Mati, di sini.

Mereka dikatakan dengan niat bersama membunuh Omar Miskam, 49, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Tertuduh pertama diwakili RK Balakrishnan, tidak faham pertuduhan ketika ia dibacakan dan Balakrisnan memohon anak guamnya menjalani pemeriksaan di Hospital Tampoi, Johor Bahru dengan sokongan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain, sebelum Majistret Maslinda Selamat, membenarkan permohonan.

Manakala tertuduh kedua yang tidak diwakili peguam mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan sebelum Maslinda menetapkan 22 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 12:54 PM