KEADAAN rumah penduduk di Kampung Banggol Chicar, Kupang, Baling yang dinaiki air selepas hujan lebat tanpa henti selama tiga jam. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Lebih 50 keluarga membabitkan 14 kampung di sekitar daerah ini terjejas apabila rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat berikutan hujan lebat selama tiga jam, hari ini.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Banggol Chicar, Pekan Kupang, Belakang Sekolah Kupang, Kampung Tanah Periok, Kampung Raja, Kampung Bendang Sera, Kuala Samak, Kampung Tembak A, Kampung Gua Reban dan Tanjung Merbau dinaiki air setinggi satu meter berikutan air dari Sungai Ketil melimpah ke penempatan penduduk.

Kampung lain termasuk Kampung Sadek, Bukit Tinggi, Kampung Jerai dan Kampung Tanjung yang turut dinaiki air awal pagi tadi.

Difahamkan, hujan bermula pada 2 pagi tadi dan berlarutan selama tiga jam tanpa henti menyebabkan penempatan penduduk yang tinggal di kawasan rendah mudah dilanda banjir.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada mangsa dilaporkan dipindahkan ke pusat pemindahan yang disediakan pihak berkuasa.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, bantuan awal seperti bekalan makanan sudah dihantar kepada mangsa terbabit dan pemantauan juga dilakukan dengan kerjasama semua agensi penyelamat bencana banjir.

"Bagaimanapun, penduduk diminta supaya berpindah segera sekiranya paras air semakin meningkat kerana dikhuatiri akan berlaku kejadian tidak diingini termasuk haiwan berbisa seperti ular memasuki rumah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 11:26 AM