Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) 2016 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 3 Disember depan bakal menyuntik semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat Johor terutama generasi muda.

Ketua UTM One Stop Space Rental, Masnawi Miskam berkata, sebagai institusi mengamalkan budaya berbasikal dan pelestarian, UTM menyambut baik penganjuran HMMTB Grand Prix di kampus Skudai.

Beliau berkata, peluang bekerjasama dengan penganjur dan akhbar utama seperti Harian Metro, suatu perkara yang memang dinanti-nantikan.

Menurutnya, kerjasama penganjuran kejohanan ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan masyarakat luar dengan universiti ini.

Katanya, ia juga mampu memperkenalkan UTM sebagai satu destinasi ekopelancongan di negeri ini.

“Dari segi persiapan, semua bahagian yang terbabit seperti UTM One Stop Space Rental, keselamatan, perubatan, penginapan dan juga sukarelawan terdiri daripada pelajar juga sedang giat dilakukan.

“Kami akan memberi komitmen 100 peratus bagi memastikan kelancaran program demi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sirkit terakhir di Skudai nanti pastinya menjanjikan cabaran lebih menarik dengan penyertaan lebih 1,300 peminat sukan itu.

Ia juga bakal menyaksikan kemunculan juara keseluruhan dengan setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 untuk juara, RM1,000 (kedua) dan RM500 (ketiga).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:09 AM