TERUJA pertama kali berlakon filem animasi.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Siapa sangka pada usia masih kanak-kanak, Puteri Balqis Azizi, 9, berjaya berada sebaris dengan artis ternama.

Membuka mata banyak pihak apabila memenangi beberapa anugerah besar seperti Anugerah Skrin ke-18 menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama dan Asian Television Awards ke-19 (Pelakon Wanita Terbaik), usia muda jelas bukanlah alasan buat si cilik ini.

Terbaru, Balqis tampil pula dengan filem animasi hebat, Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! Filem arahan Erma Fatima itu diterbitkan oleh Les Copaque Productions dan KRU Studios serta edaran Grand Brilliance (GB).

Menariknya, filem itu karya animasi Malaysia pertama yang menggabung–kan animasi 3D dengan lakonan hidup. Ia bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 24 November ini iaitu musim cuti persekolahan.

Filem ini turut dilakonkan Remy Ishak, Sara Ali, Gambit Saifullah, Awie serta pemilik suara kembar Upin & Ipin, Asyiela Putri.

Jom ikuti wawancara Balqis dengan BLING! baru-baru ini.

BLING!: Apakah perasaan Balqis apabila ditawarkan berlakon filem animasi?

Balqis: Seronok sangat! Satu pengalaman yang baru untuk saya kerana selama ini saya selalu berlakon drama cereka. Berlakon dalam Upin & Ipin ini memang susah kerana saya perlu banyak berimaginasi dan berdialog seorang diri, dengan membayangkan Upin & Ipin ada di sekeliling saya. Malah, saya juga perlu mengagak kedudukan dan ketinggian dua karakter itu tepat supaya ia memudahkan kerja suntingan.

BLING!: Filem ini diarahkan oleh Erma Fatima. Dapat dilihat Balqis sering berlakon di bawah arahan beliau. Apa yang membuatkan Balqis suka berlakon di bawah Erma?

Balqis: Saya sudah lama mengenali Mama Erma. Malah pada awal pembabitan dia jugalah yang banyak memberi kepercayaan kepada saya. Bermula dengan watak kecil sebagai pembantu, sehinggalah Mama memberikan saya watak utama dalam drama arahannya. Dia banyak menggilap bakat saya dan memberi tunjuk ajar. Apa yang saya peroleh sekarang ini semuanya berkat tunjuk ajar daripada dia juga. Jadi disebabkan sudah biasa berlakon di bawah arahannya saya rasa selesa untuk menjayakan Upin & Ipin.

|

BLING!: Balqis sendiri peminat Upin & Ipin?

Balqis: Ya memang. Saya sudah menonton Upin & Ipin sejak umur empat tahun lagi. Mereka memang comel sangat. Jadi, apabila diberi kepercayaan terbabit sendiri dalam filem Upin & Ipin pastinya saya berasakan macam bermimpi. Mimpi yang jadi kenyataan!

BLING!: Apa yang menarik mengenai Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! ini?

Balqis: Pada saya, walaupun filem ini sebuah karya ringan untuk tontonan kanak-kanak, tetapi ia sarat dengan pelbagai pengajaran terutama membabitkan mengenai semangat dalam kekeluargaan. Filem ini sesuai ditonton oleh seisi keluarga. Malah, ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan selain penonton boleh berhibur dengan gelagat dan aksi Upin & Ipin yang ‘muncul’ dalam dunia realiti. Tema yang diterapkan sangat sesuai kerana saya yakin semua orang akan gembira menontonnya.

BLING!: Kongsi sedikit perkembangan terbaru Balqis.

Balqis: Selain sibuk mempromosikan Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! sekarang, saya akan muka sibuk di lokasi penggambaran filem Mr M. Ia sebuah kisah benar, tapi saya belum dapat menceritakan lebih lanjut mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:04 AM