Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Tempoh tahanan reman terhadap empat lelaki termasuk dua beradik yang disyaki terbabit dalam kejadian seorang lelaki mati dipukul di FELDA Aring, Gua Musang, minggu lalu dilanjutkan tujuh hari lagi.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Izuddin Mohd Shukri terhadap suspek berusia 14 tahun sehingga 33 tahun bermula hari ini sehingga 24 November ini untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, semua suspek direman tujuh hari sejak 12 November lalu yang berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman berkenaan.

Harian Metro pada 13 November lalu melaporkan, salah faham kerana disangka melarikan gadis berusia 17 tahun dipercayai punca penjaga barang binaan Rojali Muslim, 29, dipukul hingga maut.

Bagaimanapun siasatan awal polis mendapati gadis yang didakwa hilang itu bukan melarikan diri sebaliknya tidur di rumah rakan tanpa memberitahu keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 6:22 PM
EMPAT suspek disambung reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Fathil Asri