NURSYAMIMI (kiri) bersama Nur Alia menunjukkan produk ‘Pandanus-Cockra’.
EKSTRAK daun pandan untuk menghalau lipas.
BALANG uji kaji.
HASIL penyelidikan saintis muda.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Manfaat daun pandan cukup besar dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu sejak dulu lagi dan banyak digunakan dalam masakan kerana baunya yang harum.

Daun pandan atau nama saintifiknya Pandanus amaryllifolious juga digunakan sebagai pembalut makanan, pewarna, pewangi bedak sejuk dan pewangi asli bunga rampai.

Daun pandan boleh digunakan sebagai ubat pencegah lipas.

Daya kreatif masyarakat dulu menggunakan daun pandan untuk menghalau lipas menarik minat sekumpulan saintis muda sehingga terciptanya produk inovasi, 'Pandanus-Cockra'.

Ia dibangunkan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, Segamat, Johor.

Mereka ialah Nursyamimi Safura, 16, Nur Alia Kamal Din, 16, dan Nurhanani Nor, 16. Ia mendapat bimbingan guru penasihat, Saodah Ramli.

Idea itu melayakkan mereka memenangi tiga anugerah dalam tiga pertandingan berbeza iaitu naib johan dalam pertandingan reka cipta dan inovasi Sekolah Kluster Kecemerlangan Peringkat Kebangsaan, pingat Perak dalam Pameran Rekacipta Penyelidikan dan Inovasi Universiti Putra Malaysia serta pingat emas dalam Pertandingan Invention, Innovation and Design (IID) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Segamat.

Produk inovasi itu dipersembahkan sempena Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI 2014), Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Nursyamimi berkata, Pandanus-Cockra adalah satu produk berbentuk gel yang dibangunkan daripada daun pandan.

"Ramuan asasnya membabitkan daun pandan, garam, gel dan antikulat yang diadun ke dalam sebuah bekas.

"Fungsi bahan ini untuk menghalau lipas dengan dua kelebihan iaitu tahan lama dan produk semula jadi," katanya.

Produk ini sebagai alternatif kepada penggunaan ubat gegat dan semburan aerosol.

Penggunaan aerosol dapat menipiskan lapisan ozon di atmosfera.

Ia tidak memberi kesan atau bahaya kepada kanak-kanak jika terpegang dan termakan secara tidak sengaja.

Menurutnya, ia terbukti berdasarkan eksperimen dilakukan di lapangan.

"Dalam masa tujuh hari, lipas lari daripada menghampiri produk kami," katanya.

Nursyamimi berkata, ekperimen itu membahagikan tiga petak iaitu A (mengandungi makanan dan produk), B (mengandungi produk saja) dan C (makanan).

"Sepanjang tempoh itu didapati lipas lari daripada kotak B ke A dan C," katanya.

Melihat situasi itu, katanya, produk dibangunkan sesuai untuk premis kediaman dan restoran.

"Jika guna bahan kimia, ia memberi kesan kepada makanan dan pelanggan," katanya.

Produk itu, katanya, akan dikomersialkan dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kesesuaian persekitaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:01 AM