PERSIAPAN awal dilakukan peserta sebelum ke pantai.
Mohd. Sharumnisham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my


Langkawi dikurniakan kepelbagaian bio yang tidak ternilai harganya. Keindahan pantai, keunikan pulau sekitarnya dan muka bumi yang berbukit bukau tidak perlu diperkenalkan lagi.

Malah, Pantai Tanjung Rhu turut tersenarai antara 10 pantai tercantik di dunia oleh sebuah portal pelancongan antarabangsa.

Lebih 80 peratus penduduknya pula bergantung kepada sektor pelancongan selain sumber marin sebagai sumber pendapatan.

Bagaimanapun, kebergantungan kepada sumber laut dan kepesatan aktiviti pelancongan turut memberi impak negatif kepada alam, terutama sumber marin.

Pegawai Penyelidik Teknologi Marin, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis Jamil Tajam berkata, kemusnahan terumbu karang di sekitar pulau di Langkawi kini pada tahap serius. Ia mengakibatkan hidupan laut di kawasan itu terganggu dan lama-kelamaan akan berkurangan.

“Secara tidak langsung tekanan ini akan membawa kepada pengurangan ke atas sumber perikanan di kawasan ini,” katanya yang menjalankan penyelidikan terbabit sejak 2012.

Katanya, kebanyakan terumbu karang kini hidup dalam air yang keruh dan diancam pembangunan pesat zon pantai untuk tarikan pelancongan, selain ancaman nelayan setempat.

Justeru, pasukan penyelidik diketuai Jamil dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Jabatan Perikanan Negeri Kedah dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI-UKM) menganjurkan projek pemuliharaan terumbu karang membabitkan komuniti setempat, baru-baru ini.

Projek Latihan Komuniti Melestarikan Kelangsungan Karang itu turut mendapat kerjasama Langkawi Reef Care, sebuah badan bukan kerajaan yang aktif membantu memulihara terumbu karang di sekitar pulau terbabit.

Dalam program selama dua hari itu, 30 orang yang terdiri daripada nelayan dan penduduk daripada Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Sungai Kilim, Tanjung Rhu dan Kubang Badak dibimbing dengan teknik semaian terumbu karang pada kerangka paip dan pemindahan benih ke dalam laut.

Karang yang berjaya dibiakkan adalah daripada spesies Acropora dan Gorgoian. Benihnya mudah didapati dengan mengumpulkan karang yang patah atau rosak akibat tersangkut pada pukat nelayan sebelum dirawat dan disemai.

Selain menyemai benih karang, mereka turut didedahkan dengan kepentingan kelestarian sumber alam terhadap kehidupan, sama ada kepada manusia mahupun hidupan lain.

Projek tertumpu di Pulau Dangli, Pulau Pasir dan Pulau Gasing yang terkenal sebagai destinasi aktiviti selam snorkel oleh pelancong.

Selain mendidik nelayan menghargai alam sekitar, projek itu diharapkan dapat membangunkan pendidikan pelancongan atau edutourism dalam kalangan pengunjung dan pelancong.

Seorang peserta Sabri Musa berkata, kemahiran diperoleh dalam program itu dapat membantunya menawarkan pakej kepada pelancong untuk melaksanakan aktiviti serupa.

“Projek ini diharap bukan saja dapat memulihara karang dan meningkatkan populasi ikan karang, tetapi juga bakal menjadi produk pelancongan terbaru Langkawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 11:39 AM