ELIZABETH (dua dari kiri), Cheim (dua dari kanan), Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tanjong plc Gerard Nathan (kanan) dan Pengurus Besar Kanan, Sumber Manusia Kumpulan dan Perkhidmatan Pentadbiran Tanjong plc M Jayakumar (kiri) melihat karya Leow Xu Jia (tengah).
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Kepelbagaian sumber dan warisan semula jadi negara sering memberi idea terindah kepada seniman dalam melahirkan karya terbaik.

Karya seni lukis terbabit nyata terserlah sewaktu melewati lukisan yang dipamerkan pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Seni Lukis Warisan Tanjong Peringkat Kebangsaan 2016.

Seramai 28 pelukis berbakat menerima hadiah wang tunai bernilai RM52,000 dengan tema pertandingan mengenai warisan Malaysia.

Pertandingan itu menerima 1,248 penyertaan untuk lima kategori iaitu minyak/akrilik, media campuran, warna air, arang/pensel/dakwat dan seni cetak daripada 18 institusi termasuk satu institusi baru.

Pada peringkat awal, sebanyak 419 penyertaan terpilih dan akhirnya hanya 30 karya seni unik 28 pelukis berjaya ke peringkat akhir.

Barisan pengadil untuk pertandingan 2016 dipimpin Presiden Badan Warisan Malaysia Elizabeth Cardosa bersama pemenang Anugerah Warisan Asia Pasifik UNESCO bagi kerja pemuliharaan Ar Laurence Loh; pelukis kontemporari Profesor Madya Fauzan Omar dan pakar dalam bidang seni, pendidikan dan warisan budaya Dr Kim Phaik Lah.

Pertandingan Seni Lukis Warisan Tanjong Peringkat Kebangsaan edisi 2016, turut menjemput dua profesional seni yang terkenal dalam bidang masing-masing untuk menjadi panel pengadil iaitu Chin Kon Yit dan Juhari Said.

Pengerusi Tanjong plc Datuk Robert Cheim berkata, pertandingan yang sudah berlangsung selama 16 tahun itu menunjukkan usaha berterusan Tanjong bagi meraikan warisan negara dan mengiktiraf pelukis muda berbakat dari seluruh Malaysia.

“Sehingga kini, ramai antara pemenang pertandingan ini sudah berkembang dan terkenal dalam bidang seni tersendiri. Ternyata kejayaan ini membuka peluang untuk mereka melangkah lebih jauh dalam mengharumkan nama negara.

“Malaysia bertuah kerana kaya dengan warisan khazanah wujud hasil pertembungan luar biasa tamadun Timur dan Barat yang membentuk warna-warni budaya negara yang pelbagai.

“Menjadi misi Tanjong untuk meraikan dan memulihara kepelbagaian warisan Malaysia dengan memberi peluang kepada golongan muda berbakat tanah air untuk menzahirkan penghargaan terhadap kekayaan warisan menerusi karya seni demi manfaat masyarakat,” katanya.

Bagi kategori arang/pensel/dakwat dimenangi penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Putri Intan Sari Amrizal bersama Sim Hoi Ling dari Dasein Academy of Art (Dasein).

Kategori media campuran dimenangi bersama Leow Xu Jia dari Kolej Equator dan Goh Jing Shya dari ATEC Academy manakala Choo Ai Xin memenangi hadiah pertama bagi kategori minyak/akrilik.

Ho Mei Kei dari Dasein memenangi kategori seni cetak manakala kategori warna air tiada pemenang utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 11:36 AM