Polis Trafik melakukan sekatan dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Padang Matsirat-Kuah. FOTO ihsan Polis
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Polis menahan lapan remaja dipercayai terbabit dalam lumba haram menerusi Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Padang Matsirat-Kuah di sini, hari ini.

Operasi empat jam bermula 12 tengah malam itu membabitkan 45 anggota serta tiga pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi (BSPTL) bagi membanteras lumba haram dan samseng jalanan.

Ketua BSPTL, Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, pihaknya melakukan intipan dan pemantauan di kawasan terbabit yang kerap menjadi tempat mat rempit menjalankan kegiatan lumba haram.

"Pada 1 pagi sepasukan anggota yang membuat pemantauan di Jalan Padang Matsirat-Kuah mengekori sekumpulan 40 motosikal yang leka berlumba dan melakukan aksi berbahaya.

"Hasil pemantauan mendapati lapan motosikal ditunggang dalam kelajuan tinggi selain mereka turut melakukan aksi potong-memotong serta perlakuan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mahadhir berkata, susulan itu pada 1.30 pagi pihaknya menahan tujuh penunggang motosikal dan seorang pembonceng sejurus mereka tiba di Jalan Bukit Nau, di sini.

Katanya, kesemua motosikal dan individu berusia antara 15 sehingga 19 tahun yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Langkawi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:44 AM