Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Teruja bakal bergelar bapa, pelakon Shaheizy Sam mengakui tujuh kali dia membawa isteri membuat imbasan kehamilan.

Menurut Sam, dia dan isterinya yang juga pelakon Syatilla Melvin berasa seronok setiap kali dapat melihat pergerakan bayi dalam kandungan.

"Alhamdulillah usia kandungan isteri mencecah tiga bulan. Sejak mengetahui isteri hamil, saya berasa sangat gembira. Sehinggakan sudah tujuh kali kami membuat imbasan kehamilan.

"Tidak ada sebab tertentu, cuma kami mahu melihat pergerakan bayi. Setiap kali melihatnya, rasa terharu dan bersyukur. Mungkin disebabkan ini pengalaman pertama kami jadi rasa teruja itu lain macam," katanya kepada Harian Metro.

Sam yang juga pelakon filem Polis Evo bagaimanapun dinasihati keluarga agar tidak terlalu teruja atau bersikap berlebihan.

Pada masa sama, Sam memberitahu isterinya tidak mengalami sebarang alahan teruk diawal kehamilan.

"Selepas memasuki tiga bulan, isteri kerap mengadu migrain. Mungkin disebabkan pengambilan vitamin yang diberikan doktor meyebabkan ia berlaku.

"Jadi bagi mengelakkan perkara itu berterusan, saya mencadangkan supaya dia mengamalkan pengambilan makanan yang sihat sesuai dengan keadaannya sekarang," katanya.

Sam memaklumkan Syatilla dijangka bersalin pada Mei tahun depan namun setakat ini mereka belum memilih hospital.

"Memandangkan masih awal, kami belum berbincang soal ini. Begitu juga dengan persiapan. Insya-Allah kalau sudah dekat nanti boleh fikirkan.

"Saya sentiasa berdoa isteri dan bayi dalam kandungan sihat serta dipermudahkan segalanya,” kata Sam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 7:30 PM