SUSPEK warga Myanmar dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Muhamaad Razis Ismail dan Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


Gua Musang: Dua warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tuduhan membunuh seorang rakan senegara mereka, bulan lalu.

Tertuduh, Wai Yan, 24 dan Moe Yan, 24 hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di depan Majistret Mohd Faiz Omar.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap semua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh mangsa dikenali sebagai Ased, 24, di rumah pekerja di Lojing, Gua Musang, 8 malam, 30 Oktober lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor G Gopinath manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang buruh warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh rakan senegaranya selepas berlaku pergaduhan di sebuah rumah kongsi ladang sayur di Lojing.

Mereka ketika itu dikatakan mabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 2:44 PM