ANGGOTA bomba mengangkat Perodua Kenari Duin yang tersangkut pada pembahagi jalan. FOTO ihsan bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kuching: Anggota Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya mengangkat Perodua Kenari dipandu lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tersangkut pada pembahagi jalan di Jalan Stutong di sini, malam tadi, selepas tiada pengguna jalan raya berhenti untuk membantu mangsa.

Duin Kuni, 51, berkata, dalam kejadian itu, dia menunggu lebih sejam di sisi Perodua Kenari namun tiada siapa yang berhenti untuk membantunya.

Duin kemudiannya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Samarahan untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, tujuh anggota balai bomba itu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan 6.36 petang.

“Kami dapati Perodua Kenari itu tersangkut di atas pembahagi jalan di depan jalan masuk ke Hospital KPJ.

“Kami membantu mengalihkan kereta lelaki itu sebelum dia meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya di Kota Samarahan.

“Lelaki itu memaklumkan dia sudah lama menunggu di tepi jalan tetapi tiada siapa yang berhenti untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 1:57 PM