Anyeonghaseyo! Terlalu menitikberatkan bab kualiti penulisan lagu, mungkin itulah antara keberkesanan melodi di Korea Selatan yang mampu membuat kita jatuh cinta. Padahal tidak sepatah pun perkataannya yang difahami, namun mendengar emosi penyanyi dan ketajaman lagunya benar-benar mengagumkan.

Sudahpun namanya muzik itu sangat universal, namun untuk tersenarai sebagai lima pencipta lagu terbaik di negara itu sekarang semestinya cukup luar biasa. Itu bermakna mereka sangat bagus dan berjaya dalam bidang muzik.

Jika ditanya siapa antara yang terbaik dan di sebalik penulisan lagu yang meruntun jiwa, lima daripadanya termasuklah J.Y. Park (JYP), Kenzie, Kim Do Hoon, Kim Eana dan Min Yeon Jae.

JYP pernah meledak dengan lagu Don't Leave Me, Elevator, She Was Pretty, Honey, Kiss, Your House dan menubuhkan label JYP Entertainment pada 1997. Dia juga menjadi produser dan komposer kepada ramai penyanyi hebat termasuklah Rain, G.O.D, Park Ji Yoon, Byul, 2AM, 2PM, Miss A, JJ Project, GOT7 dan Wonder Girls.

Lima pencipta lagu berkenaan bakal berentap menerusi acara sulung web portal popular hiburan K-Pop seluruh dunia iaitu Koreaboo. Mereka dipertandingkan dalam kategori Penulis Lagu Terbaik.

Membuka Hallyu! minggu ini dengan kisah bekas anggota Kara iaitu Kang Ji Young yang nampaknya tinggal selangkah menggapai impian menjadi aktres. Dia pun sebenarnya sudah lama menyimpan impian menjadi pelakon, namun mahu memberi laluan kepada kerjaya Kara terlebih dulu.

Tidak lama dulu, Ji Young bertindak meninggalkan kumpulan berkenaan untuk menyambung pelajaran di United Kingdom (UK), namun hanya bertahan enam bulan saja. Tuah badan, dia kemudian dikhabarkan menandatangani kontrak eksklusif dengan sebuah agensi sebagai pelakon.

Apa yang pasti, dia tidak akan memulakan kerjaya lakonannya itu di Korea Selatan, sebaliknya mengambil keputusan mencuba nasib di Jepun. Memang berisiko namun nampaknya dia sendiri kini gigih mempersiapkan diri untuk tujuan itu.

Hakikatnya, Ji Young kini dalam proses mendalami bahasa Jepun secara intensif. Sudah membuat promosi dirinya di sana, dia mempraktikkan bahasa itu meskipun mengakui sangat kekok.

"Dulu, sebaik saja Kara diperkenalkan, saya sebenarnya terus terfikir mahu jadi pelakon pula pada masa depan. Tahun lalu saya tidak menunggu lama dan berlatih sendiri.

"Bagaimanapun, memang sukar apabila kena belajar dan bertutur bahasa baru. Pendekatan saya adalah dengan mempraktikkannya setiap hari dan cuba bertutur tanpa menggunakan penterjemah bahasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:00 AM