Oleh Maiamalina Mohamed Amin, Syah Rul Aswari Abdullah dan Helmy Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Pantai Timur masih melebihi 24,000 orang sejak tengah malam tadi dengan peningkatan di Kelantan dan Pahang, manakala jumlah di Terengganu turun sedikit.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,050 orang ditempatkan di 68 pusat pemindahan sementara, berbanding 16,081 petang tadi.

Pusat pemindahan di Gua Musang dan Kuala Krai juga bertambah kepada 11 pusat.

Tiga sungai turut melepasi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong pada 40.12 meter, Sungai Lebir di Tualang (38.56 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.40 meter).

Empat belas jalan di Gua Musang, Jeli, Tanah Merak, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu juga ditutup.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 1,580 orang berbanding 821 orang petang tadi.

Jerantut menjadi daerah ketiga dilanda banjir selepas Lipis dan Kuantan dengan satu pusat pemindahan sementara menempatkan 61 mangsa dibuka pada 8 malam tadi.

Di Terengganu, bilangan mangsa banjir turun sedikit kepada 5,910 orang daripada 1,575 keluarga di 62 pusat pemindahan berbanding 5,914 orang daripada 1,577 keluarga, petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 2:59 AM
Skip this ad x