KUANTAN 16 NOVEMBER 2016. Peguam bela 770 peneroka Gugusan Felda Chini, R Sivarasa memberi penjelasan selepas permohonan peneroka terbabit berhubung saman terhadap Felda mengenai isu penipuan dan penyelewengan Kadar Perahan Gred (KPG) di tolak Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya. NSTP/ZULKEPLI OSMAN
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my


Kuantan: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini, menolak saman dikemukakan 577 peneroka dari FELDA Chini dan Chini Timur terhadap FELDA dan satu anak syarikatnya atas dakwaan penipuan dan pecah amanah.

Keputusan itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya selepas mendapati plaintif gagal membuktikan dakwaan membabitkan keterangan semua saksi sepanjang perbicaraan.

Mariana menetapkan RM300,000 sebagai kos ganti rugi perlu dibayar plaintif yang menyaman FELDA dan FELDA Palm Industries.

Pada 26 April 2012, 770 peneroka dari lapan tanah rancangan di FELDA Chini dan Chini Timur memfailkan saman atas dakwaan penipuan dan pecah amanah.

Bagaimanapun jumlah itu menjadi 577 selepas ada peneroka yang menarik diri dan meninggal dunia.

Mereka menamakan FELDA dan FELDA Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan dan mendakwa pihak berkenaan menggredkan hasil minyak sawit lebih rendah daripada sepatutnya sejak 17 tahun lalu.

Defenden diwakili Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala peneroka oleh R Sivarasa dan Shahid Ahlid Kamarudin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 3:05 PM