TUMPAT: Senarai harga ubat-ubatan yang mahal dan tidak termasuk dalam pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan ditetapkan bagi memastikan kepentingan pengguna terjaga.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kementerian telah mengadakan rundingan dengan pihak farmasi bagi penetapan senarai harga ubat-ubatan berikutan pelaksanaan CBP pada April tahun depan.

Beliau berkata, penetapan harga itu adalah bagi menjaga kepentingan pengguna dan mengelak penjualan ubat-ubatan dengan harga yang lebih tinggi.

"Kita yakin pertengahan tahun depan kita akan dapat senarai harga ubat tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Diabetes Sedunia 2014 peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata, senarai harga itu adalah bagi ubat mahal yang tidak termasuk dalam senarai 2,900 ubat yang dikecualikan daripada CBP.

"Kita tahu ada pihak tertentu menjual ubat dengan harga sehingga tiga kali ganda. Kita akan kawal harga tersebut," katanya.

Beliau berkata, orang awam tidak perlu gusar kerana CBP tidak akan dikenakan bagi rawatan dan ubat-ubatan di klinik kerajaan.

Dr Hilmi berkata, kementerian turut menetapkan harga siling bagi kos perkhidmatan doktor pakar dan doktor klinik swasta yang dilaksanakan sejak tahun ini, serta menetapkan semua prosedur perkhidmatan kesihatan.

Katanya tindakan boleh diambil terhadap pengamal perubatan yang tidak mematuhi prosedur dan harga siling yang telah ditetapkan oleh kementerian. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 10:10 PM