SEBUAH ambulans turut musnah dalam serangan udara terbaru di Aleppo, semalam. - Reuters
Reuters

Beirut: Serangan udara menggegarkan beberapa daerah di timur Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang semalam - yang pertama dalam tempoh beberapa minggu, kata pegawai pertahanan awam dan penduduk.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia melaporkan, serangan berkenaan membunuh tiga mangsa.

Pegawai pertahanan awam, Ibrahim Abu al-Laith memberitahu, serangan udara disasarkan ke kawasan kejiranan Haidariya, Hanano dan Sakhour.

Menurut agensi pemerhati itu, daerah Sheikh Faris, Bab al-Nairab, Qadi Askar dan al-Qaterji turut dibom.

Tambahnya, sebahagian serangan dilancar menggunakan helikopter yang menggugur bom tong.

“Rumah kami bergegar akibat letupan bom itu. Pesawat terbang di atas dan bom meletup di sekitar kami,” kata penduduk di timur Aleppo, Modar Shekho.

Aleppo kini menjadi medan pertempuran paling sengit dalam perang saudara selama lima tahun setengah di Syria.

Tentera Presiden Bashar al-Assad yang disokong Russia, Iran dan militan Syiah bertempur dengan beberapa kumpulan penentang Sunni yang sebahagian disokong Turki, Amerika Syarikat dan negara Teluk lain.

Selama beberapa tahun, Aleppo terpisah kepada dua bahagian, wilayah barat dikuasai kerajaan dan timur yang ditawan kumpulan penentang.

Tentera Syria dan sekutunya berjaya mengepung timur Aleppo pada musim panas lalu dan melancarkan serangan besar-besaran yang disokong serangan udara pada September lalu.

Bagaimanapun, beberapa minggu lalu, Moscow memberitahu, pihaknya menghentikan sementara serangan udara.

“Semua serangan udara dan bom payung terjun. Serangan hari ini (semalam) amat ganas. Tiada serangan seperti ini dalam tempoh 15 hari lalu,” kata Ibrahim.

Stesen televisyen Syria mengesahkan tentera udara negara itu melancarkan serangan di kawasan yang didakwa kubu kuat kumpulan penentang dan depoh bekalan mereka di Aleppo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:50 AM