KUALA TERENGGANU: Orang ramai di negeri ini tidak perlu panik jika mendengar bunyi siren di kawasan berhampiran sungai yang melebihi paras amaran kerana ia sesuatu yang normal.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah berkata siren itu akan berbunyi secara automatik apabila paras air sungai melepasi tahap amaran.

“Penduduk sekitar kawasan sungai sudah biasa mendengar siren ini...mungkin bagi orang luar, ia sesuatu yang janggal sedangkan ia hanya peringatan biasa kepada penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan orang ramai yang panik dengan khabar angin di laman sosial bahawa siren amaran itu berbunyi menandakan banjir di Terengganu bertambah buruk.

Roslina berkata sehingga 2 petang tadi, hanya dua sungai melepasi tahap amaran iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri.

Dua lagi sungai melebihi paras waspada ialah Sungai Marang di Pengkalan Berangan, Marang dan Sungai Cherul di Jambatan Ban Ho di Kemaman dengan kedua-duanya menunjukkan trend peningkatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 6:43 PM