WAKIL Media Prima Labs, Nicholas Sagau.
SEKITAR acara Level Up KL 2016.
YASMIN rasmi Level Up.
SEKITAR acara Level Up KL 2016.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Industri game di negara ini masih di peringkat muda, sedang bertatih untuk menyaingi gergasi besar yang sudah belasan tahun bermain.

Namun, belum terlewat untuk segala-galanya jika ada lonjakan dan sokongan dari dalam negara sendiri.

Apatah lagi dengan penggunaan telefon pintar yang menjadi platform sosial dalam kehidupan, peluang terbuka untuk mana-mana pihak menampilkan inovasi asalkan mempunyai idea kreatif yang bermain di fikiran.

Sebab itu, langkah penganjuran Level Up KL yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Media Prima Labs (MP Labs) dan akhbar Harian Metro sebagai rakan media rasmi menjadi salah satu platform untuk mengorak langkah menaikkan imej Malaysia.

Level Up bersifat serantau dan mungkin tidak menyamai Persidangan Pembangun Game (GDC) yang kerap dianjurkan di San Francisco, Amerika Syarikat, tetapi ia platform terbaik bukan saja sebagai penggemar game malah individu yang mahu menambah cita-cita ke peringkat lebih tinggi.

Sepanjang lima hari dianjurkan, Level Up KL 2016 menampakkan kejayaan sekurang-kurangnya membuka mata potensi bakat tempatan dalam industri terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Streamline Studios yang terkenal dengan pembangunan game, Alexander Fernandez sendiri mengakui bakat tempatan sehingga membuka studio mereka di negara ini dalam usaha memperkukuhkan tapak di Asia.

“Kita tahu Asia memainkan peranan pembangunan game di dunia seperti yang dapat disaksikan di Jepun.

“Oleh itu, kita perlu turut memasuki industri yang lama di Asia dan Malaysia antara lokasi sesuai,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak teragak-agak membuka cawangan Streamline Studios di negara ini yang mempunyai potensi besar.

“Industri game membuka peluang perniagaan dan ia boleh diisi dengan bakat tempatan yang menyerlah,” katanya.

Itu antara sebab Streamline Studios mahu menambah pekerja dalam industri terbabit kepada 300 individu berbanding 200 pekerja sekarang.

Streamline Studios terkenal dengan beberapa jenama seperti Final Fantasy XV, Street Fighter V, Bioshock, James Bond, Avatar, Coca-Cola, Twentieth Century Fox dan Intel.

Antara syarikat gergasi yang terbabit dalam Level Up untuk sesi perkongsian idea ialah Sony, Unity, Blizzard dan Square Enix.

Bukti bakat Malaysia dalam industri game sudah terserlah pada anak muda Wan Hazmer Wan Ab Halim yang kini menerajui pasukan pereka game di Square Enix.

Beliau yang turut hadir memberi idea di Level Up KL mengharapkan anak muda di negara ini terus belajar dan tidak gentar untuk memasuki industri game.

“Jika minat sudah ada, jangan berhenti dan teruskan usaha mencapai objektif apa yang anda inginkan,” katanya.

Beliau menasihatkan individu terutama anak muda tidak mengalah dalam meneruskan minat masing-masing.

“Kita perlu sentiasa tidak berputus asa dalam meneruskan minat dan kekalkan identiti sebagai rakyat Malaysia,” kata Hazmer.

Pengarah Kandungan Kreatif dan Bahagian Teknologi MDEC, Hasnul Hadi Samsudin berkata, ramai pemain dan pasukan dibentuk serta bersaing bukan saja di peringkat tempatan, namun menempa nama di persada antarabangsa.

“Kita perlu bertindak bukan saja sebagai pengguna, namun potensi lebih besar iaitu bersedia menjadi pembangun game terbabit,” katanya.

Beliau berkata, MDEC menganjurkan acara Level Up KL yang menjadi pemangkin kepada anak muda, pembangun game tidak kira bernaung di bawah syarikat atau bergerak bebas untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bukan saja sembang kosong, tetapi menuntut ilmu dan membuka peluang di peringkat lebih tinggi.

Malaysia menyasarkan menjadi hab serantau bagi industri permainan dan mendapat rangsangan daripada pertumbuhan kukuh industri berkenaan di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata eksport kandungan permainan Malaysia melonjak kepada RM80 juta tahun lalu, meningkat 75 peratus berbanding 2014 disokong penerimaan menggalakkan daripada industri permainan global.

“Pertumbuhan itu mencerminkan potensi negara menjadi hab permainan serantau menjelang 2025.

“Momentum sudah ada...kita mendapat pengiktirafan daripada industri permainan global,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menyasarkan menjadi hab serantau bagi industri permainan dan mendapat rangsangan daripada pertumbuhan kukuh industri berkenaan di rantau ini.

“Pasaran permainan video Asia Tenggara membentuk empat peratus daripada penggunaan global dan ia dijangka berkembang pesat berbanding rantau lain dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 6:09 AM