Aliaa hilang selepas ke sekolah.
Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Disangka tidak ke sekolah kerana cuti sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun remaja perempuan berusia 13 tahun ini ke sekolah sebelum hilang, semalam.

Aliaa Syafiqah Nazar Mohd Nor Juahari dikatakan keluar dari rumah datuk dan neneknya di Bandar Baru Bangi, di sini, sebelum 5.30 pagi.

Bapanya, Mohd Nor Juahari Nazari,38, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu disedari hilang kira-kira 10 pagi selepas didapati tiada di dalam biliknya.

"Saya sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah berkenaan dan mendapati Aliaa tiba di sekolah kira-kira 5.30 pagi sebelum keluar dari sekolah itu pada 8 pagi.

"Rakan dia (Aliaa) juga ada memaklumkan kepada saya, anak saya ini memberitahu kepada mereka, dia akan berpindah ke sekolah lain dalam masa terdekat," katanya yang sudah berpisah dengan isterinya, Zuraliza Zulkifli, 37, sejak 2008.

Katanya, dia baru saja dua minggu bekerja dan menetap di Alor Setar, Kedah dan kehilangan anaknya itu dimaklumkan oleh ibunya sebelum bergegas pulang ke ibu kota pada 5 petang semalam.

Menurutnya, bekas isterinya itu ada memaklumkan kali terakhir anaknya menghubunginya menggunakan nombor tidak dikenali pada 9 pagi semalam namun tidak mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.

"Selepas menyedari kehilangannya, bekas isteri cuba untuk menghubungi nombor itu semula tetapi gagal,” katanya.

Katanya, anaknya itu tidak pernah keluar bersendirian terutama untuk ke sekolah selain sering ditemani datuk dan neneknya untuk pergi ke mana-mana.

"Jarak antara rumah ke sekolah adalah lebih kurang empat kilometer dan saya tidak pasti bagaimana anak saya itu boleh pergi ke sekolah pada awal pagi.

"Saya sudah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan berharap anak saya akan segera pulang ke rumah.

"Orang ramai yang melihat anak saya itu diminta menghantarnya ke balai polis terdekat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan mengesahkan menerima laporan kehilangan Aliaa dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 12:43 AM