MOHD Taib (tengah) menunjukkan gambar lima kanak-kanak yang masih hilang pada sidang media. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Kes lima beradik yang dilaporkan hilang dari majlis keagamaan di Taman Ungku Tun Aminah kini diklasifikasikan sebagai kes melarikan orang daripada penjagaan sah di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Kes itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Ia berikutan siasatan polis mempercayai lima beradik itu kini berada di bawah jagaan seseorang individu atau pusat kebajikan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, sehingga semalam, pihaknya masih gagal mengesan lokasi lima beradik itu. Namun siasatan pihaknya yang masuk hari ke-16 turut mempercayai kemungkinan mereka berada di bawah jagaan pusat kebajikan di Pulau Pinang yang pernah menjaga lima beradik itu sebelum ini.

"Kita dengan kerjasama polis Pulau Pinang sudah cuba mengesan lima beradik ini di pusat jagaan di sana, namun kemudian mendapati ia sudah ditutup dan bertukar nama serta berpindah ke satu lokasi yang tidak diketahui.

"Itu yang membuatkan siasatan kita terhalang apabila belum mendapat alamat lengkap dan maklumat mengenai pemindahan pusat kebajikan ini.

"Semakan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati terlalu banyak pusat jagaan di bawah mereka dan ia akan mengambil masa untuk memeriksa satu persatu. Lebih sukar lagi, jika pusat kebajikan itu tidak berdaftar dengan JKM," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah JBU di sini, hari ini.

Oleh itu, Mohd Taib menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau mana-mana pusat jagaan yang mungkin menjaga lima beradik itu ketika ini supaya tampil menghubungi polis.

"Tindakan boleh diambil sekiranya polis sendiri dapat mengesan dan mendapati lima beradik ini di bawah jagaan mereka. Sebaliknya, jika mereka bekerjsama dengan tampil menghubungi polis dan kita mendapati lima beradik ini selamat, kes dianggap selesai," katanya yang kemudian menyerahkan kes kepada pihak JKM bagi isu penempatan lima beradik itu apabila mereka ditemui kelak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBU, Asisten Superintendan Arbae Makdor di talian 019-7557999 atau Pegawai Penyiasat Kanan IPD JBU, Asisten Superintendan Victor Genason di talian 016-7552626.

Pada 5 November lalu, Harian Metro melaporkan lima beradik, Yeo Soon Chuan, 17; Yeo Soon Shen, 16; Yeo Soon Yuan, 13; Yeo Soon Hoo, 12; dan Yeo Soon Lian, 10; menghilangkan diri dari majlis keagamaan di Persatuan Penganut Tian Hou Shen Gongpada 10.30 malam, 31 Oktober lalu.

Hasil siasatan polis ketika itu mendapati ibu kandung adik-beradik itu yang juga ibu tunggal, didapati cuba memujuk penjaga persatuan untuk membawa mereka pulang ke pangkuannya.

Bagaimanapun, tindakan wanita berkenaan tidak dibenarkan tanpa kebenaran pihak JKM.

Usaha pihak polis mengesan kelima-lima beradik itu di beberapa lokasi dan alamat yang diperoleh menerusi siasatan, gagal sehingga kini.

Pix Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 5:41 PM