Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat apabila seramai 5,205 orang pada pagi ini berbanding 4,882 orang malam tadi.

Sehingga 9 pagi tadi, kesemua mangsa banjir terdiri daripada 1,353 keluarga ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,263 keluarga di 47 pusat pemindahan sebelum ini.

Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu, Dungun mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 2,242 orang daripada 604 keluarga ditempatkan di 18 PPS.

Kemaman mencatatkan 1,466 orang daripada 373 keluarga ditempatkan di 17 PPS di Kuala Terengganu, seramai 909 orang daripada 220 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Di Besut, 319 orang daripada 73 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala di Hulu Terengganu, 211 orang daripada 64 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Di Marang, 36 orang daripada 12 keluarga di satu pusat pemindahan dan Setiu mencatatkan jumlah mangsa terendah iaitu hanya 22 mangsa daripada tujuh keluarga di tempatkan di dua PPS.

Beberapa laluan masih ditutup iaitu Jalan Chukai-Air Putih Bukit Macang Setahun (FT 237) Seksyen 8.9, Jalan Chukai-Air Putih( FT237) Seksyen 12.5 (Pasir Gajah), Jalan Chukai-Air Putih (FT237) Seksyen 16.0 (Sungai Pinang) dan Jalan Bukit Mentok-Tanjung Moktak (T125).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 10:12 AM