Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta kerajaan bertegas dan tidak melayan sebarang tuntutan untuk mengiktiraf peperiksaan Unified Examination Certificate (UEC) bagi kemasukan ke universiti awam (UA).

Presidennya Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya menolak sebarang pengiktirafan ke atas peperiksaan UEC, atas dasar tidak menepati piawaian dasar pendidikan kebangsaan kerana mengguna pakai kurikulum yang diciplak dari Taiwan.

Katanya, pengiktirafan kepada UEC bermakna kerajaan mengenepikan sama sekali dasar pendidikan kebangsaan dan tidak perlu wujud dua sistem peperiksaan di negara ini.

"GPMS berpendapat, kerajaan tidak harus sama sekali menimbangkan usul MCA berkenaan memandangkan UEC tidak dikendalikan Kementerian Pendidikan tetapi jawatankuasa yang dilantik, jadi ketelusannya adalah diragui.

"Sekiranya lepasan UEC dibenarkan untuk memasuki UA, ia adalah tidak adil kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan akan menjejaskan peluang mereka ke UA. Lepasan SPM mesti diberi keutamaan kerana hanya sistem peperiksaan itu yang menepati piawaian dasar pendidikan kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:05 PM