SUKARELAWAN mengusung seorang kanak-kanak yang cedera di sebuah hospital di Karachi. - AFP
SUKARELAWAN menyusun mayat di sebuah rumah mayat di Karachi. - AFP
PASUKAN keselamatan Pakistan melihat tempat letupan bom berlaku. - AFP
AP

Quetta: Angka kematian akibat letupan bom di sebuah makam di barat daya Pakistan meningkat kepada 52 orang semalam.

Pegawai berkata, lebih 100 orang cedera dalam kejadian itu.

Kumpulan Daish mengaku bertanggungjawab dalam serangan lewat kelmarin di makam Shah Bilal Noorani di Baluchistan, wilayah barat daya Pakistan.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri wilayah berkenaan berkata, usaha menghantar mangsa yang cedera ke hospital sukar kerana laluan bergunung-ganang.

Tempat kejadian itu terletak kira-kira 350 kilometer ke selatan Quetta, ibu negeri Baluchistan.

Serangan itu menyasarkan pengunjung ketika mereka asyik melakukan upacara keagamaan.

Menurut polis, perkarangan makam itu ketika kejadian sesak dengan keluarga, wanita dan kanak-kanak.

Daish, dalam satu kenyataannya yang disiarkan agensi berita Aamaq berkata, serangan itu menyasarkan penganut Syiah yang mereka anggap sesat.

Kejadian berlaku sehari sebelum Perdana Menteri Nawaz Sharif melawat wilayah berkenaan.

Pegawai kanan tentera, Leftenan Kolonel Mohammad Junaid memberitahu wartawan, siasatan awal menunjukkan letupan itu serangan bunuh diri.

Pegawai perkhidmatan penyelamat sukarela dari Yayasan Edhi, Abdul Hakim Lasi berkata, sebahagian besar mangsa cedera akibat bersesak-sesak kerana panik sebaik letupan berlaku.

Seorang doktor di sebuah hospital tempatan memberitahu wartawan, jumlah mangsa yang cedera yang dibawa ke hospital itu terlalu ramai.

“Kami tidak mempunyai ruang mencukupi untuk merawat mereka. Sebahagian mangsa terpaksa dirawat di luar hospital,” katanya.

Dia juga memberitahu, beberapa mangsa hilang anggota badan.

Kebanyakan mangsa yang cedera dan mayat diangkut lewat malam ke Karachi, kira-kira 200 kilometer dari tempat kejadian.

Pihak berkuasa Pakistan juga berkata, empat pasukan perubatan tentera dan 45 ambulans dikerah ke tempat kejadian.

Bulan lalu, Daish juga mengaku bertanggungjawab menyerang sebuah akademi tentera di Quetta, menembak mati 61 orang, kebanyakannya kadet dan pelatih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 7:45 AM