KITARAN haid berlaku setiap 28 hingga 30 hari.
HAID normal ialah pendarahan selama lima hingga tujuh hari.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Haid ialah keadaan semula jadi dan normal yang dialami semua wanita bermula usia akil baligh sepanjang usia reproduktif mereka.

Kitarannya disebabkan oleh hormon dan berlaku sewaktu lapisan dinding rahim ‘runtuh’ apabila tiada persenyawaan berlaku.

Kebiasaannya kitaran haid yang normal ialah 28 hari, bagaimanapun ada wanita yang memiliki kitaran lebih pendek atau lebih panjang, antara 21 hingga 35 hari.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Ampang Dr Suhaimi Isa, definisi haid normal ialah pendarahan selama lima hingga tujuh hari mengikut kitaran setiap 28 hingga 30 hari dalam jumlah yang normal dan tidak mengalami senggugut.

Katanya, jumlah darah haid tidak praktikal untuk disukat dan selalunya perkara itu agak subjektif.

“Purata jumlah haid yang keluar setiap bulan ialah 30 mililiter (ml) dan jika melebihi 80ml setiap bulan, ia akan menyebabkan masalah anemia atau kurang darah.

“Oleh itu, cuba bandingkan jumlah haid sekarang dengan haid terdahulu yang mereka anggap normal. Doktor pula akan melakukan ujian darah untuk menentukan sama ada hemoglobin mereka normal atau rendah.

“Jika hemoglobin mereka rendah, berkemungkinan besar anemia itu disebabkan pengeluaran haid yang banyak. Jika haid berlebihan, ia akan menyebabkan darah melimpah, darah berketul-ketul dan senggugut,” katanya.

Dr Suhaimi berkata, punca haid tidak normal sukar dikenal pasti kerana kawalan haid seseorang itu bermula dari kelenjar pituitari di dalam otak yang menghasilkan hormon luteinizing (LH) dan hormon follicle stimulating (FSH).

Katanya, hormon terbabit pula bertindak balas dengan ovari untuk menghasilkan hormon estrogen dan progesteron. Ovari ialah pengantara kelenjar pituitari dan rahim.

Bagi mendapatkan haid yang normal, ovari mesti melalui rangsangan dari kelenjar pituitari. Apabila ovulasi berlaku, barulah haid menjadi teratur dan normal.

Oleh itu, jika ovulasi tidak terjadi atau ovulasi berlaku lewat, terjadi haid yang tidak menentu.

“Gangguan ovulasi terjadi pada dua peringkat umur iaitu semasa belasan tahun dan umur 45 tahun ke atas.

“Fibroid boleh menyebabkan pendarahan yang melimpah semasa haid. Bagi mereka dalam lingkungan usia 20-an ke 40-an pula gangguan ovulasi berlaku kerana masalah sindrom ovari polisistik (PCOS). PCOS berkait rapat dengan peningkatan Indeks Jisim Tubuh (BMI),” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa kesan berpunca daripada masalah haid tidak teratur antaranya kitaran haid yang panjang dan tidak menentu, menyukarkan mereka untuk menentukan hari subur dan kebiasaannya darah haid mereka akan melimpah.

Jumlah haid yang terlampau juga menyebabkan anemia, senggugut dan kemasukan ke hospital kerana pertumpahan darah. Oleh itu kehidupan sosial mereka juga akan terjejas.

Pada masa sama, menurutnya, senggugut boleh mengganggu kualiti hidup kerana terpaksa mengambil cuti sakit setiap bulan, selain penurunan prestasi kerja atau pembelajaran. Manakala bagi Muslimah, ia boleh mengganggu ibadat seperti solat dan puasa kerana mereka memiliki perasaan sentiasa waswas.

Bagaimanapun, menurut Dr Suhaimi, gangguan haid bukan 100 peratus punca seseorang tidak subur.

“Tetapi jika dibandingkan dengan seseorang yang mempunyai haid normal, mereka sukar sedikit untuk hamil.

“Untuk hamil, seseorang tidak perlu ada haid seperti semasa penyusuan dan ramai yang hamil walaupun haid mereka tidak menentu.

“Jika seseorang tidak subur, mereka terpaksa melalui ujian kesuburan seperti mereka yang mempunyai haid normal,” katanya.

Elak obesiti

Selain itu, Dr Suhaimi berkata, tindakan yang perlu diambil oleh wanita mengalami haid tidak normal adalah berusaha menurunkan berat badan daripada obes kepada normal mengikut BMI.

Ia amat penting kerana penurunan berat badan kepada normal akan dapat memulihkan haid dan meningkatkan kesuburan mereka.

“Pada masa sama, mereka juga digalakkan berjumpa doktor pakar untuk imbasan ultrabunyi bagi memastikan status ovari sama ada normal atau mempunyai PCOS, cyst, endometriosis atau fibroid.

“Antara ciri fizikal berkait rapat dengan masalah PCOS ialah masalah BMI yang tinggi, haid tidak normal, sukar hamil serta Hirsutism iaitu pertumbuhan bulu halus di bibir, jambang, atas dada dan ari-ari.

“Jerawat juga mudah tumbuh kerana hormon androgen mereka berlebihan,” katanya.

Selain itu, Dr Suhaimi berkata, biarpun memiliki masalah haid tidak teratur atau sudah lama tidak didatangi haid, ia bukan petanda cepat menopaus sebaliknya mereka masih memiliki ovari yang cukup untuk menghasilkan hormon estrogen.

Katanya, purata menopaus adalah pada usia sekitar 50 hingga 51 tahun dan hanya ujian darah yang dapat memberikan jawapan jika seseorang sudah menopaus ataupun tidak.

“Saya percaya masalah haid tidak normal ada kaitan dengan keturunan kerana gen ini diwarisi daripada ibu mereka.

“Haid tidak normal mempunyai risiko antaranya mengalami anemia kronik. Ia adalah risiko utama kerana boleh menyebabkan jantung bengkak, kelesuan dan keletihan.

“Penghidap PCOS mempunyai pertalian rapat dengan masalah berikut ketika usia meningkat seperti darah tinggi, kencing manis, paras kolesterol tinggi, sakit jantung dan kanser rahim,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Suhaimi menasihatkan mereka yang mengalami gejala haid tidak normal terutama wanita yang merancang untuk berkahwin dan mendapatkan zuriat supaya menjaga berat badan dan elak daripada menjadi obes melalui pemakanan seimbang dan aktiviti sukan.

Katanya, dalam kalangan remaja, masalah haid utama ialah haid terlalu banyak, senggugut dan tidak didatangi haid serta mereka perlu bertemu doktor secepat mungkin.

“Pengambilan hormon bagi remaja atau dewasa yang sudah lama tidak didatangi haid juga perlu bagi mengelakkan osteoporosis dan pembesaran terbantut ketika remaja.

“Anemia disebabkan pengeluaran haid yang terlampau banyak memerlukan penambahan darah, rawatan ketika haid. Ia punca keletihan dan senggugut yang berlaku menyebabkan produktiviti pelajar atau pekerja menurun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:21 AM