PERKATAAN ‘sayang’ untuk beri baju lama kepada orang lain sebenarnya merosakkan.

Aduh. Semaknya bilikku! Bagaimana aku boleh mempunyai begitu banyak pakaian hingga atas katil pun penuh dengan baju dan tudung? Almari penuh, penyangkut di luar pun penuh. Ruang hendak berjalan pun susah. Terpijak baju, terpijak seluar. Solat perlu dilakukan di bilik lain. Di bilik lain itu pun penuh dengan baju juga. Alahai. Adakah aku sudah terlebih baju?

Kita mempunyai banyak baju tetapi baju yang sama juga yang dipakai berulang-ulang setiap minggu. Jadi apa gunanya baju yang banyak itu? Kita asyik membeli dan membeli mengikut nafsu tanpa memikirkan keperluan. Kita beli dan simpan!

Ramai orang mempunyai sikap begini terutama wanita, membeli baju baharu tetapi tetap mahu menyimpan baju lama. Ini menjadikan almari semakin penuh dan tidak terkawal banyaknya.

Tidak ingat pun bila anda membeli atau mempunyai baju itu dan perlu jenuh mengimbau memori bagi mengingati kenapa ia dibeli. Anda lupa sama sekali mengenai baju itu. Semuanya kerana baju anda terlalu banyak.

Setiap kali orang menasihati anda supaya memberi baju lama atau yang tidak dipakai kepada orang lain, anda akan menjawab sayang. ‘Sayang’ itu sebenarnya yang semakin merosakkan, juga membuatkan anda digelar kedekut kerana sanggup membiarkan hidup dalam lambakan pakaian menggunung daripada memberikannya kepada orang. Anda menjadi hamba pakaian berlebihan.

Jumlah ideal baju

Sebenarnya, secara logik anda perlukan pakaian yang sedikit saja. Tidak perlu 365 pasang kerana mahu mencukupkan jumlah hari dalam setahun. Ini berdasarkan kenyataan kebanyakan orang memakai pakaian yang disukainya berulang-ulang dalam sebulan.

Hadkan pakaian secukupnya untuk dipakai sebulan. Anda sebenarnya sudah mempunyai pakaian yang cukup dengan tiga pasang baju kurung, lima pasang blaus, dua pasang skirt labuh,tiga pasang seluar dan tiga pasang jubah. Nah, hanya 16 pasang!

Cukupkah dengan hanya jumlah itu? Cukup. Sebabnya, memang kita akan memakai pakaian sama berulang-ulang sepanjang bulan. Itu sebabnya begitu banyak pakaian anda yang tidak terpakai.

Daripada jumlah ini, pakaian dipakai pula secara suai padan. Blaus boleh dipakai dengan seluar, juga boleh dipakai dengan skirt labuh. Baju kurung dan jubah pula anda jarang pakai dan mungkin mengenakannya seminggu atau dua minggu sekali ketika bekerja. Atau sebulan sekali. Jadi anda tidak perlu mempunyai banyak pakaian sebegini.

Lagipun anda boleh saja mengubah penampilan apabila memadankannya dengan tudung yang berlainan. Untuk ke majlis rasmi, gandingkan dengan tudung yang sedikit berbeza yang memang anda khaskan bagi tujuan itu. Sekali lagi, tidak perlu banyak helai kerana bukan setiap minggu anda perlu menghadiri majlis perkahwinan.

Oleh itu, sebuah almari sudah cukup untuk semua baju ini. Peruntukkan juga bahagian untuk anda meletakkan baju tidur, kain batik, tuala dan telekung. Begitu juga untuk anda menyimpan stok cadar dan selimut. Kasut elok diletak di almari kasut, di luar bilik.

Kasut dan tudung?

Percayalah, walaupun anda mempunyai ratusan kasut dan tudung, anda hanya memakai yang paling sesuai serta selesa saja. Yang lain hanya dipakai sekali atau dua kali. Selepas itu ia tersimpan begitu saja dan anda kembali memakai kasut yang lama selagi ia masih elok. Jadi, seperti mana pakaian, kasut dan tudung juga perlu mempunyai jumlah yang sama.

Warna polos paling selamat. Cukuplah anda mempunyai lima hingga lapan helai tudung dengan warna polos kerana ia mudah disuai padan. Yang bercorak hanya dua hingga tiga pasang dan yang istimewa untuk majlis rasmi sekitar dua hingga tiga pasang juga. Jangan simpan di tempat tersorok sebaliknya sangkut di tempat yang mudah kelihatan supaya mudah anda mencapainya.

Kasut, tujuh pasang saja sudah memadai. Sandal dua pasang, kasut kerja dua pasang, kasut untuk jamuan majlis rasmi dua pasang dan kasut sukan sepasang. Belilah kasut kerana kasut lama sudah lusuh atau tidak boleh dipakai lagi bukan kerana anda mahu menghabiskan duit sesuka hati.

Mempunyai puluhan kasut pun tidak bermakna anda akan memakai setiap hari kasut berbeza. Ya, mungkin Paris Hilton akan berbuat demikian kerana dia jutawan tetapi anda tetap memakai yang selesa saja jadi sama kesnya dengan tudung dan pakaian lain.

Beg tangan pula, perlukah anda mempunyai 10 beg tangan sedangkan sudah lima tahun anda selesa memakai dua saja? Satu yang hitam dan satu lagi beg galas belakang. Mungkin anda perlu sekitar tiga beg tangan saja dalam simpanan. Untuk kerja, santai dan majlis rasmi.

Bijak memilih

Suai padan ternyata menyegarkan penampilan. Pakaian yang sama, dipakai dengan tudung berbeza, anda tetap tampil berbeza walaupun baju kurung itu sudah dikenakan berpuluh-puluh kali.

Kadangkala kita takut menggunakan tudung berbeza dan akan mengenakan tudung yang sama setiap kali mengenakan baju itu. Jangan takut bermain dengan warna. Cubalah kombinasi tudung yang lain pula.

Jangan suai padan pakaian tetapi hasilnya tidak sepadan mana. Anda salah bermain fesyen dan penampilan jadi serabut dan melucukan. Bagi yang berkerjaya, anda perlu tahu warna yang boleh disuai padan. Warna pastel paling selamat.

Jangan sesekali memakai baju, skirt labuh, tudung yang ketiga-tiganya bercorak atau berbunga-bunga. Biarlah satu saja yang bercorak sama ada tudung, baju atau skirt saja.

Baju rasmi dan baju santai

Jaket memudahkan hidup anda. Eloklah mempunyai beberapa helai jaket untuk dipakai bersama pakaian atau blaus ketika di majlis rasmi atau waktu kerja. Anda akan tampil profesional. Sekali lagi warna pastel dan polos pilihan yang sesuai.

Apakah baju yang santai? Baju-T dan seluar daripada kain jean contoh pakaian untuk bersantai dan tidak boleh dipakai ke pejabat.

Berapa pula jumlah baju santai yang perlu kita ada? Sama juga. Kita selalunya akan pakai baju dan jean yang sama ketika bersantai. Jadi memadai anda mempunyai dua helai jean dan tiga atau lima pasang baju santai.

Petanda anda mempunyai terlebih pakaian yang tidak diperlukan apabila:

1. Bilik anda bukan lagi seperti sebuah bilik tetapi seperti sebuah stor.

2. Almari pakaian tidak boleh ditutup.

3. Ada berkotak-kotak kasut baru yang belum dipakai di merata-rata tempat di bilik anda.

4. Rakan dan keluarga melabelkan anda sebagai kaki membeli-belah.

5. Tidak ingat anda mempunyai sepasang baju kurung lycra di dalam almari dan beberapa helai lagi blaus batik dan polka dot yang masih ada tanda harganya.

6. Penyangkut baju di dalam almari runtuh kerana terlalu berat.

7. Anda mempunyai tabiat membeli baju setiap kali hendak bercuti.

8. Ada baju bersaiz S di dalam simpanan anda sedangkan anda sekarang bersaiz XL dan tiada ahli keluarga anda yang bersaiz begitu.

9. Anda memberi alasan membeli-belah sebagai terapi sedangkan anda ada banyak hobi lain seperti berbasikal dan menonton wayang.

10. Penyangkut baju anda ada ratusan jumlahnya.

Mempunyai baju yang terlalu banyak ternyata memberi lebih banyak kesan negatif berbanding positif. Selain ia mengambil tempat dan ruang yang begitu banyak, keadaan juga kelam-kabut, bukan mudah dijaga dan memerlukan masa dan kewangan yang banyak untuk memastikan ia terpelihara daripada lipas, anai-anai dan tikus.

Anda berasa perlu mempunyai baju baru? Baju lama jangan disimpan, sedekahlah pada orang lain yang mahu memakainya. Dapat juga memberi anda pahala. -Kusyi Hirdan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:07 AM