SEORANG wanita yang melarikan diri dari Mosul menggendong anaknya bersama anggota keluarganya yang lain berjalan menuju ke pusat pemeriksaan tentera khas Iraq di timur Mosul, semalam. - Reuters
AFP

Mosul: Pasukan elit tentera Iraq terbabit dalam pertempuran sengit dengan Daish di timur Mosul semalam sementara orang awam berkumpul di pinggir bandar raya itu, menanti masa untuk melarikan diri.

Tentera Iraq melancarkan operasi besar-besaran untuk menawan semula bandar raya kedua terbesar Iraq itu daripada Daish pada 17 Oktober lalu dan berjaya menawan beberapa kejiranan sekitar.

Bagaimanapun, untuk menawan keseluruhan bandar berkenaan mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan lagi.

“Pertempuran amat sengit pagi ini. Kami cuba mengukuhkan kedudukan di Arbajiyah sebelum mara untuk mengepung Al-Bakr,” kata Leftenan Kolonel Muntadhar Salem.

Menurutnya, pihaknya mengesan tiga bom kereta yang dipandu dari Al Bakr menuju kedudukan tentera Iraq sebelum ia dimusnahkan dengan bedilan kereta kebal.

Sementara itu, ratusan orang awam, sebahagiannya membawa bendera putih, berjalan keluar dari Mosul, berkumpul di sebuah trak tentera Iraq yang akan membawa mereka ke kem pelarian sementara.

Lebih 49,000 orang melarikan diri dari Mosul sejak operasi bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:06 AM