Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Cadangan gantung sekolah buat murid dan pelajar kes buli serius mendapat maklum balas positif daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kesatuan guru.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata cadangan itu masih dalam peringkat kajian pihaknya untuk pelaksanaan.

Ini berikutan, katanya, pihaknya masih menunggu respon daripada pihak berkaitan termasuk menetapkan tempoh setahun penggantungan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Bagaimanapun, kita sebulat suara menyokong sekiranya penggantungan itu dilaksanakan pada tahun sama kes berkenaan dilakukan sebagai pengajaran kepada pembuli.

“Jika pelajar terpaksa menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia (pembuli) perlu menangguh peperiksaan bagi menjalani hukuman dahulu.

“Peperiksaan itu hanya dibenarkan diambil pada tahun berikutnya," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah dan Penyampaian Anugerah Hari Koperasi Sekolah Terbaik Peringkat Kebangsaan 2016, malam tadi.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan tindakan gantung persekolahan setahun kepada pembuli yang didapati melakukan kesalahan serius sebagai alternatif hukuman buang sekolah.

Dalam cadangan itu, pelajar yang digantung itu akan dibabitkan dengan kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan dalam tempoh tertentu sebagai syarat sebelum dibenarkan untuk memulakan persekolahan semula.

Pada masa sama, katanya, kementerian mempunyai satu jawatankuasa di peringkat tertinggi termasuk membabitkan penasihat undang-undang dalam melihat kes buli di kalangan pelajar dan murid.

"Jawatankuasa khas ini diwujudkan kementerian untuk menangani gejala disiplin terutama membabitkan kes buli di kalangan pelajar sekolah, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 1:59 AM