Aimie Pardas
aimiepardas@hmetro.com.my


New York City (Amerika Syarikat): Masih ada tunjuk perasaan, namun jumlah penunjuk perasaan semakin berkurangan.

Tinjauan pada 9 malam tadi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia) mendapati kira-kira 300 penunjuk perasaan masih berkumpul di luar Menara Trump, di sini bagi membantah keputusan pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan kemenangan kepada pemilik bangunan itu merangkap calon parti Republikan, Donald Trump.

Suasana masih selamat dengan kira-kira 15 anggota polis bertugas mengawal keadaan di pekarangan bangunan itu termasuk mengawal lalu lintas.

Bagaimanapun, jumlahnya semakin berkurangan berbanding ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul sebelum ini.

Malah, penduduk negara itu, terutamanya di New York yang lebih ramai memilih calon Demokrat, Hillary Clinton, mungkin sudah menerima hakikat bahawa Trump akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-45, Januari ini.

Seorang daripada penduduk yang juga perunding, Brian Le, 23, berkata, pada mulanya dia terkejut dengan kemenangan Trump malah berpendapat dia dihampakan pengundi yang memilih Trump.

"Ramai yang menunjuk perasaan tetapi ia mungkin bukan cara paling terbaik bagi mengendalikan situasi ini. Namun, setiap orang mempunyai pandangan sendiri dan saya tidak menentang atau menyebelahinya. Namun, saya rasa terdapat cara lebih baik menghadapinya," katanya, ketika ditemui, malam tadi.

Katanya, rakyat AS kini perlu meneruskan kehidupan serta bersatu dan bekerjasama demi perjuangan bersama.

"Saya cuba mengekalkan keyakinan tetapi akan melihat apa yang berlaku selepas ini," katanya.

Sementara itu, penjual hartanah, Judy Hu, 33, berkata, AS sudah membuat pilihan.

"Itulah hakikatnya. Saya hanya menerima keputusan itu. Hillary menang undi popular tetapi kita kena terima Trump dan harap dia dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Katanya, kini adalah masa untuk meneliti pelan Trump sebagai Presiden.

"Kita perlu melihat pelan Trump. Dia baru sahaja mengumumkan pelan bagi 100 hari pertamanya," katanya.

Seorang lagi penduduk wanita yang enggan dikenali berkata, ramai yang sudah menerima keputusan itu walaupun tidak mengundi Trump.

"Jika bertanya dengan lebih ramai lagi, pastinya mereka akan memberitahu bahawa mereka sudah sedia bergerak ke hadapan," katanya yakin

Sementara itu, penjual makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 28, berkata, dia gembira dengan kemenangan Trump.

"Saya rasa Trump akan menjadi Amerika hebat sekali lagi.

"Trump tegas, kuat dan saya sukakannya," katanya.

Trump bukan saja mengejutkan AS malah dunia apabila memenangi pemilihan presiden negara itu dengan kemenangan besar mengalahkan Hillary sekali gus menamatkan pemerintahan wakil Demokrat sejak lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, kehidupan di bandar raya ini dilihat tidak banyak berubah dengan keputusan itu. Ramai masih kelihatan di 5th Avenue pada sebelah malam dan pelancong masih membeli belah di kedai mewah jalan terkenal ini.

Penjual makanan turut kelihatan di hampir setiap sudut dan hon kereta sentiasa berbunyi selain aliran trafik sesak pada waktu puncak.

Malah, pasaran saham kembali meningkat selepas menjunam, Selasa lalu.

Seluruh dunia kini menantikan pelantikan Trump secara rasmi pada 20 Januari 2017 serta bakal memerhatinya dengan lebih teliti pada 100 hari pertamanya sebagai Presiden AS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 8:17 PM