Jenazah Rozali dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


Gua Musang: Polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur jenayah dalam kematian seorang penjaga barang binaan di Kampung Aring 8, di sini, hari ini.

Mangsa, Rozali Muslim, 20-an, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Aring 1, kira-kira 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kematian itu yang disyaki berunsur jenayah.

"Siasatan masih lagi dilakukan termasuk mendapatkan maklumat daripada keluarga angkat mangsa dan rakan sekerja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, abang angkat mangsa, Satar Harun, 38, berkata, arwah keluar ke tempat kerjanya selepas menerima panggilan telefon kira-kira 1 pagi.

"Dia kemudian pulang ke rumah kami di Kampung Aring 2 pada 5 pagi, terus masuk ke dalam biliknya dan kemudian menjerit kuat.

"Saya bergegas ke bilik itu dan terkejut apabila dia menunjukkan kepalanya di bahagian kiri berdarah selain lengan cedera," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Gua Musang, di sini.

Satar berkata, arwah juga enggan ke klinik sejurus itu dan hanya berbaring sambil menahan kesakitan.

Katanya, pada 9 pagi dia membawa arwah ke Klinik Kesihatan Aring 1 dengan bantuan jiran, namun adik angkatnya disahkan meninggal dunia.

Mayatnya kini dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 8:01 PM