Rosmin (kiri) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Siber Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang penghantar surat sambilan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Siber, di sini, hari ini, atas pertuduhan memuat naik status bersifat penghinaan dan jelik terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggunakan akaun Facebook miliknya, bulan lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmin Mohamed Noor, 40, selaku orang kena saman (OKS) sebaik pertuduhan dihadapinya dibacakan sekali lagi oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 708, Kampung Teluk Bahru 2, Lundang, Kota Bharu, Kelantan jam 10.10 pagi, 22 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 6:32 PM