PESERTA mengangkat pokok untuk ditanam di parkir kereta.
Rosman Shamsudin
rencana@hmetro.com.my


Menyemai semangat sukarelawan dan amalan gotong-royong yang menjadi tunjang perpaduan masyarakat sejak dulu perlu dikekalkan terutama generasi hari ini.

Inisiatif Majlis Belia Daerah (MBD) Muallim menganjurkan Program Gotong Royong di Pusat Seni (Sarang ) Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini bersama Jabatan Belia dan Sukan Perak antara usaha menyemai semangat sukarelawan serta menghidupkan kembali amalan gotong-royong dalam kalangan generasi belia.

Kira-kira 100 belia terbabit termasuk pelajar Kolej Vokasional Slim River, Perak dengan pengisian program membersihkan kawasan Sarang, menanam pokok untuk membina landskap Sarang, mengecat dinding dan mural.

Pengerusi MBD Muallim, Azhari Abdullah Sani, 30, berkata, MBD menyediakan pelbagai program untuk golongan belia di daerah ini selaras pekan Tanjung Malim terpilih projek perintis pembangunan 1Malaysia Youth City (1MYC) atau dikenali Bandar Belia 1Malaysia di Semenanjung Malaysia.

Katanya, program ini antara aktiviti yang dirancang untuk golongan belia di daerah ini terutama dalam menyemai semangat kesukarelawan dan menghidupkan kembali amalan gotong royong dalam kalangan belia.

“Amalan gotong-royong ini bukan saja membantu meringankan beban malah mengukuhkan ikatan silaturahim dalam kalangan belia,” katanya.

Azhari berkata, aktiviti kesukarelawan menjadi sasaran utama MBD dalam transformasi Bandar Belia bagi melahirkan golongan muda yang kaya nilai murni dan jati diri yang dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Sementara pelajar Kolej Vokasional Slim River (KVSR), Perak menyifatkan aktiviti gotong royong yang dianjurkan pihak MBD Muallim memang memberi manfaat kepada golongan belia kerana aktiviti ini mempunyai banyak mesej tersirat dan tersurat yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan hari ini.

Pelajar tahun dua, Kursus Teknologi Elektrik, Mior Imran Haris Mior Khir, 17, berkata program itu dapat memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan belia.

“Di sepanjang program ini kami berpeluang mengeratkan silaturrahim sambil bersama-sama menjalankan aktiviti yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan situasi ini mengajar kami cara berkomunikasi dengan lebih berkesan.

“Memang kami terdiri dari kolej yang sama namun sebahagian pelajar tidak pernah saya kenali sebelum ini kerana kesibukan belajar,” katanya.

Sementara rakannya yang mengikuti kursus yang sama, Hazim Baharum, 17, berkata kerja yang berat jika dilakukan secara bergotong royong menjadi ringan dan dapat diselesaikan dengan cepat tanpa menggunakan keringat yang banyak.

“Pepatah Melayu ada menyebut , Yang Berat Sama Dipikul, Yang Ringan Sama Dijinjing memang patut diaplikasi dalam kehidupan belia hari ini.

“Sepanjang program ini , saya lihat semua peserta begitu teruja menjalani program dalam suasana yang sungguh harmoni. Walaupun ada yang pertama kali berjumpa namun kemesraan dalam kalangan peserta terserlah,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar Kursus Kesetiausahaan dan Pentadbiran, Amni Amrina Abu Amrin, 18, menyifatkan pengalaman pertama menyertai program itu memberi pengalaman baru kepadanya.

Bagi pelajar Tahun Dua, Kursus Teknologi Pemprosesan Kayu dan Keemasan, Ainul Natasha Mohd Zairi, 17, pula di samping beliau menjalani aktiviti gotong royong ini beliau juga berpeluang mengenali Sarang yang berperanan sebagai pusat seni untuk generasi muda berkarya.

“Saya berharap dapat mengikuti lagi program yang dianjurkan pada masa akan datang dan berhasrat menimba seberapa banyak pengalaman dalam program sukarelawan sebagai persediaan sebelum melangkah ke dunia pekerjaan kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 3:07 PM